Kenaikan harga petrol: sejauhmana rakyat faham?

Posted on 20/06 09:23
Dr Rahmat Ghazali

Rata-rata rakyat marhaen yang membina komposisi terbesar warganegara serta komposisi pengundi tahu bahawa negara memiliki Petronas. Rakyat tahu bahawa Petronas memberikan sumbangan terbesar kepada budget negara; 65% keuntungan Petronas diambil oleh kerajaan dan jumlah itu menyumbang kira-kira 35% daripada keseluruhan budget tahunan negara (sebagaimana dinyatakan oleh Tan Sri Mohd Hassan Merican pada 17 Jun).

Menggunakan logika matematik maka rakyat melihat bahawa kenaikan harga petrol juga menguntungkan negara; maka dengan itu mengapa harga petrol di negara ini harus meningkat sekiranya keuntungan yang diperoleh juga meningkat? Lalu rakyat mencari justifikasi dengan melihat negara Venezuela, sedangkan rakyat tidak arif tentang berapa tong petrol sehari yang dikeluarkan oleh negara itu dan berapa tong pula dikeluarkan oleh negara kita (Petronas; 700 ribu tong sehari dan Venezuela; 4 juta tong sehari).

Isu kedua, rakyat juga tidak dapat menerima kenaikan harga petrol yang mendadak yang dibuat oleh kerajaan; mengapa harus naik 40% mendadak untuk petrol dan 63% untuk diesel? Mengapa kenaikan itu tidak dilakukan perlahan-lahan supaya keperitan kenaikan petrol itu tidak dirasakan secara mendadak juga. Dalam sukan tinju, ia seperti satu pukulan TKO yang membunuh.

Ketiganya, sebelum tarikh 5 Jun (tarikh kenaikan harga petrol) pihak kepimpinan tertinggi negara telah meuar-urakan bahawa harga petrol tidak akan naik sehingga menjelang Ogos, tetapi esok-lusa setelah janji sedemikian diumumkan, media massa mengejutkan rakyat dengan berita sedemikian. Rakyat seperti dipukul dua tiga kali dengan pukulan yang amat kuat: pertama kenaikan harga petrol yang tinggi, kedua kenaikan yang diumumkan secara mengejut dan ketiga rantaian implikasi yang amat menakutkan – inflasi, meningkatnya harga barangan dan makanan dan rakyat mula merasakan bahang kemiskinan. Semuanya ini datang bertubi-tubi dengan kenaikan harga minyak masak, kenaikan harga beras, tak lama lagi tarif elektrik dan kita pasti ia akan merebak kepada bahan makanan yang lain sama ada secara sedar dan tidak disedari; gula, tepung, ikan, sayur, roti, dan susu. Malah pada setakat rencana ini ditulis, semua harga barang makanan yang disebut itu sudah pun mula naik.

Pada petang kenaikan harga petrol diumumkan dan melarat ke sebelah malamnya, saya lihat ramai yang berpusu-pusu ke kiosk petrol untuk mengisi minyak; tindakan sedemikian hanyalah tindakan singkat yang hanya dapat menyelamatkan dua tiga puluh ringgit sahaja. Bagaimana dengan impak kenaikan harga minyak itu pada hari-hari mendatang. Sedihnya, daripada pemerhatian saya dan rakan-rakan akademik yang lain, pembeli petrol di kiosk itu seringkali memaki hamun dan menyumpah seranah pihak yang mereka tanggapi sebagai bertanggungjawab menaikkan harga petrol itu. Siapa yang dimaki hamun itu? Entah saya pun tidak tahu, tetapi sekadar dapat meneka siapa yang mereka sumpah seranahkan itu. Malangnya ada di kalangan Menteri yang menambahkan lagi keresahan rakyat apabila dengan terang-terangan mengumumkan bahawa harga petrol akan naik lagi sebelum menjelangnya akhir tahun; mungkin melonjak sehingga tiga ringgit seliter.

Apa yang harus dibuat? Jelaskan kepada rakyat bahawa kenaikan harga petrol adalah fenomena global? Rakyat akan fahamkah? Malah rakyat akan bertanya pula mengapa kita harus tunduk kepada fenomena global sedangkan negara kita dilihat sebagai negara pengeluar minyak juga? Dalam dilema sedemikian, pihak berhaluan kiri mula membuat janji bahawa jika kerajaan negara ini jatuh ke tangan pembangkang nescaya harga petrol akan diturunkan. Pelbagai rasional dikemukakan oleh golongan sedemikian dan juga pihak pembangkang. Rakyat marhaen sememangnya suka kepada janji-janji manis yang boleh melenakan tidur mereka walaupun pada siang harinya mereka masih melalui hidup dalam keperitan. Maka dengan janji sedemikian mereka mula melihat justifikasi yang muluk-muluk untuk memberi merit kepada pihak pembangkang dan kontradiknya ia merupakan demerit kepada pihak kerajaan.

Dari perspektif lain, pilihanraya kecil Sanglang, Perlis, pasti akan berlangsung tidak lama lagi setelah pihak mahkamah menerima petisyen parti PAS terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Mac lalu. Isu yang pastinya dipergunakan ialah isu kenaikan harga minyak. Malah sejak semalam dan tersebar dalam media massa pagi ini, heboh pula mengenai komponen parti Barisan Nasional (BN) di Sabah yang dijangkakan akan keluar dari perikatan BN, akan mengusulkan undi tidak percaya kepada kepimpinan tertinggi negara di parlimen. Apakah rakyat yang kecewa dengan kenaikan harga minyak, dengan inflasi, dengan kemiskinan golongan masyarakat kampung dan kota akan berdiri teguh untuk menyokong kerajaan dalam isu ini? Kadangkala kita boleh membayangkan perasaan dan antisipasi rakyat terhadap isu terbaru ini. Segalanya lebih terasak lagi dengan wujudnya golongan oportunis yang suka melihat perubahan sosiopolitikal di negara ini meskipun perubahan yang dijanjikan itu seringkali kabur dan kelabu.

Walaupun media arus perdana secara tradisinya seringkali menggunakan kuasa pengampang untuk memperlihatkan senario isu sosiopolitikal negara sedemikian dari sudut pandangan yang membina, namun hari ini saya perhatikan keadaan sudah berubah. Kisah-kisah dan sudut pandangan pihak pembangkang juga termuat dan terselit di sana-sini dalam media arus perdana; malah seperti ada agenda tertentu. Desakan-desakan supaya kepimpinan tertinggi negara mengundur diri juga tidak lagi disorokkan, malah ditambah dengan asakan daripada akhbar tabloid dan akhbar-akhbar berhaluan kiri. Senario sedemikian saya fikir telah membuka ruang kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara yang agak signifikan di negara kita sejak akhir-akhir ini berbanding dengan era Tun Mahathir dahulu. Namun persoalannya, apakah implikasinya kepada rakyat, dan negara?
Author: voice
Category: General

Tun Mahathir letak jawatan: apakah yang tersirat?

Posted on 21/05 08:26
Oleh Dr Rahmat Ghazali

Saya amat meminati Tun Dr Mahathir Mohamad kerana karisma, intelektual dan keberanian beliau yang kental. Namun saya tidak melihat beliau sebagai manusia yang sempurna; beliau juga melakukan kesilapan seperti manusia kerdil yang lain.

Boleh dikatakan semua rakyat tahu bahawa Tun Mahathirlah yang memilih Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pewaris kerusi Perdana Menteri. Baca sahaja komentar media, dalam dan luar negara, masing-masing menyebut frasa ‘pemimpin yang dipilih dan dilantik oleh Mahathir sebagai PM’ apabila merujuk kepada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi (misalnya Reuters menulis: “Mahathir Mohamad, who handpicked Abdullah as his successor in 2003…”).

Namun apakah Tun Mahathir juga yang wajar dan berkuasa memaksa Abdullah meletakkan jawatan? Jika ada kesilapan, maka di hujung justifikasinya ialah orang yang melantik Abdullah itulah yang harus dipersalahkan. Namun tidak ada siapa yang berani menuding jari mengatakan Tun telah melakukan kesilapan besar ketika mengumumkan pelantikan Abdullah sebagai penggantinya pada tahun 2003 dahulu. Malah apabila BN memenangi Pilihan Raya 2004 dengan cemerlang, ramai yang mengatakan pilihan Tun itu adalah tepat dan Tun sendiri amat bangga. Terlanjur di situ ramai pemerhati politik yang mengatakan bahawa kemenangan BN pada Pilihan Raya 2004 adalah ‘Abdullah’s factor’, namun ada juga yang meneropongnya sebagai ‘Mahathir’s factor’.
Kemenangan itu adalah ‘Mahathir’s factor’ kerana katanya ramai rakyat yang sudah bosan dengan Tun. Ramai saintis politik melihat Tun sebagai diktator (sila baca Vorys 1975; Munro-Kua 1996; Heryanto dan Mandal 2003, Human Rights Watch 1998, Asian Human Rights Commission 1999 dan Human Rights Watch 1999). Ramai yang melihat apa yang telah berlaku pada Tun Hussein Onn, Tan Sri Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Abdullah Badawi sendiri, Anwar Ibrahim, dan kali ini giliran Abdullah lagi sekali walaupun beliau sudah diangkatnya menjadi PM, sebagai sikap autoritarian pemimpin tertinggi negara ketika itu. Malah di kalangan penggiat media ramai juga yang diminta meletakkan jawatan: lihat sahaja Kadir Jasin, Johan Jaafar, Nazri Abdullah dan ramai lagi yang tak perlu disebut. Pada zaman Tun ramai ahli akademik di IPTA menutup rapat mulut mereka dalam hal komentar dan kritikan terhadap kepimpinan negara. Lebih malang lagi dalam isu Pindaan Perlembagaan, institusi Raja juga telah dibisukan.

Kita tahu bahawa Tun Mahathir amat berpengaruh dan beliau amat berani untuk berkata apa sahaja yang beliau suka sama ada secara langsung atau secara sarkastik; bukan itu sahaja malah beliau akan bertindak keras jika arahannya tidak dipatuhi. Dengan itu juga terdapat media yang melihat Tun Mahathir seperti doktor bedah (misalnya kata The Star Dr Mahathir likened the radical action to “removing gangrene” to ensure survival); dia akan bedah, potong dan buang apa sahaja untuk menyelamatkan nyawa, tetapi kadangkala dia terlupa apa yang dipotong itu menjadi penentu kepada kesinambungan nyawa. Ramai doktor bedah yang telah membunuh pesakit kerana kesilapan mereka dengan niat asalnya mahu menyelamatkan nyawa.

Tun Mahathir pernah riuh dan gamat menyalahkan George Soros ketika negara dilanda bencana ekonomi 1997-1998. Namun kemudiannya dalam pertemuan beliau dengan George Soros, pendiriannya berubah, seperti tersirat kata-kata mohon maaf beliau kepada Soros.

Suatu ketika beliau mahu Dato Seri Najib mengambil alih jawatan PM daripada Pak Lah dan akhir-akhir ini beliau tidak lagi mencadangkan Najib. Kalau bukan Najib siapa? Dirinya sendiri atau anaknya? Bila ditanya wartawan, Tun sendiri tidak tahu siapa atau dia tahu tetapi malu untuk berkata. Sebenarnya apa yang ingin saya katakan ialah Tun Mahathir bukan sempurna, dia juga terdedah kepada kesilapan. Dan pada usia tua sedemikian, dalam sfera politik yang menolak polisinya yang terdahulu, dia dilihat seperti ‘senile’ (tak berani saya hendak terjemahkan dalam bahasa Melayu).

Kerap kali ramai yang melihat senario politik yang ‘huru hara’ dalam konteks hubungan ‘Mahathir-Pak Lah’ ialah sebagai konflik ‘kuli lawan tauke’. Sama sahaja situasinya ketika meletupnya konflik Mahathir-Anwar. Namun ada yang lupa bahawa orang yang dahulunya ‘kuli’, kini dah jadi ‘tauke’ dan mantan ‘tauke’ sudah tiada lagi taring untuk memberi arahan itu dan ini.
Jika kita lihat tiada perubahan besar dalam kepimpinan Pak Lah maka kita harus bertanya: ‘perubahan dalam konteks apa?’ Tun Mahathir melihat perubahan dalam persepsi dirinya sendiri. Perubahan besar yang telah Pak Lah lakukan ialah ‘beliau tidak mahu tunduk pada arahan Tun Mahathir lagi’.

Ada beberapa perubahan besar (jika kita tidak mahu mengatakan banyak) yang telah Pak Lah laksanakan. Antaranya ialah kes-kes rasuah dan kegenjotan institusi kehakiman negara yang melibatkan zaman ketika Tun Mahathir sendiri berkuasa. Pak Lah tidak menyekat pihak BPR untuk menyiasat kes-kes elit negara. Lihat sahaja bagaimana Ketua Polis Negara sendiri disiasat dan Timbalan Menteri Dalam Negeri sendiri disiasat. Kes VK Linggam secara langsung mendedahkan kegenjotan pentadbiran Tun sebagai PM. Dan pada hari ini media di negara ini tidak lagi seperti zaman sebelum Pak Lah. Media arus perdana sendiri sudah berani membuat komentar dan mengkritik kerajaan tanpa gentarkan pengampangnya, malah majalah-majalah yang tertakluk kepada Akta Penerbitan dan Mesin Cetak sudah bebas menjadikan musuh politik BN sebagai fokus dan memberi ‘positive depiction’ kepada mereka. Itulah ketelusan dalam konteks yang membina.
Walau bagaimanapun apabila berbual dengan intelektual yang condong kepada teologi Islam, terdapat yang mengatakan bahawa senario UMNO hari ini ada hikmahnya dan ada yang melihatnya sebagai balasan Allah terhadap pemimpinnya yang telah menganiayai orang lain; kata mereka lagi “doa orang yang teraniaya itu makbul”. Saya cuba bertanya siapakah yang dianiayai? Mereka menjawab Anwar Ibrahim, mantan Timbalan PM. Namun mereka juga bersetuju bahawa Anwar sendiri bukanlah manusia sempurna yang bebas daripada dosa. Dia juga telah melakukan banyak kesilapan, cuma dalam konteks ‘penganiayaan ini’ hukuman yang dia terima tidak setimpal dengan dakwaan terhadapnya.

Dan saya bertanya lagi siapakah yang sebenarnya yang telah menganiayai Anwar? Mereka menjawab: “Siapa lagi kalau bukan Tun Mahathir?” Dan saya cuba bertanya pula bilakah Anwar dibebaskan, siapakah yang memegang tampuk kerusi PM ketika Anwar dibebaskan? Kata mereka, jawablah sendiri.

Adakah semuanya ini bukan perubahan besar yang dilakukan oleh Pak Lah? Dan perubahan besar inilah yang dilihat menjadi punca konflik Mahathir-Pak Lah.

Jika Tun mahu semua ahli UMNO beramai-ramai meninggalkan UMNO; saya percaya orang yang pertama sekali yang harus mengikut jejak Tun Mahathir ialah anak lelakinya sendiri, jika Tun benar-benar masih berpengaruh. Namun ramai pula rakan-rakan saintis politik mengatakan bahawa “apa hairannya jika Tun meninggalkan UMNO, kerana UMNO yang tulen telah lama berkubur, dikuburkan oleh siapa? Jawablah sendiri.” Jangan lupa bahawa yang wujud hari ini ialah UMNO ciptaan Tun sendiri – ‘UMNO Baru’ dan itulah nama yang telah digazetkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Dan isu ini jugalah yang dilihat membangkitkan kemelut konflik Mahathir-Hakim Negara pada suatu ketika itu. Pada hari ini isu institusi kehakiman negara berbangkit lagi melalui kes video VK Linggam. Mungkin kerana Tun rasa bersalah, makan Tun mahu keluar daripada UMNO, itulah yang dilihat oleh Karpal Singh (sila baca NST 20 Mei, Karpal said, "In fact, his resignation may well reflect his guilt").
Author: voice
Category: General

Keputusan Pilihan Raya: Suatu Manifestasi Daripada Kebebasan Bersuara

Posted on 07/04 11:36
Pilihan Raya sudah berlalu. Rakyat sudah membuat pilihan. Keputusan rakyat harus dihormati, meskipun apa jua penjelasan yang dibuat untuk menjustifikasikan keputusan rakyat. Jika ada impak negatif terhadap masa depan rakyat: itu adalah keputusan rakyat dan itulah demokrasi.

Hari ini, dalam era pentadbiran Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, beberapa perkara telah berubah: akhbar lebih terbuka untuk mengkritik, akhbar tabloid yang condong ke arah suara-suara pembangkang mempunyai ruang yang lebih besar, kadar tahanan ISA berkurangan, malah Dato Seri Anwar Ibrahim dibebaskan seelok-elok Pak Lah mengambil alih kepimpinan tertinggi, pihak kerajaan lebih terbuka untuk memberi ruang kepada BPR menjalankan tugas, tuduhan rasuah terhadap Ketua Polis Negara dan Timbalan Menteri Dalam Negeri diserahkan kepada BPR, isu rasuah di kalangan polis lebih bebas disuarakan (sila rujuk kenyataan Tun Hanif Omar), skandal seks yang melibatkan Menteri, isu Altantunya yang dikaitkan dengan pemimpin tertinggi negara, isu VK Linggam dan kehakiman negara, dan banyak lagi pendedahan yang memancarkan integriti pentadbiran Pak Lah yang lewah.

Malah untuk melaksanakan tuduhan-tuduhan yang disabitkan oleh ISA, Pak Lah terlebih dahulu seakan-akan meminta ‘restu rakyat’. Lihat kenyataan akhbar Pak Lah sebelum bertindak ke atas pemimpin Hindraf. Pak Lah tidak mahu dilihat sebagai diktator, atau sebagai autoritarian. Malah kita lihat terdapat segelintir kepemimpinan muda parti pemerintah yang menjadi kurang ajar, angkuh dan biadap terhadap rakyat kerana besarnya ruang kebebasan yang diberikan oleh Pak Lah.

Saya lihat integriti sedemikian amat tipis pada era sebelumnya. Malah rakyat lupa bahawa ramai pemerhati politik dan ‘Audit Demokrasi Sejagat’ telah melabelkan kepimpinan terdahulu sebagai ‘autoritarian’, ‘diktator’, ‘semi-demokratik’, ‘quasi-demokratik’ dan label-label negatif yang lain. Malah ‘Audit Demokrasi Sejagat’ telah meletakkan Malaysia pada era itu sebagai negara yang tidak selamat bagi seseorang untuk mempraktikkan kebebasan bersuara.

Seelok-elok Pak Lah mengambil alih tampok pentadbiran negara, Anwar Ibrahim dibebaskan. Malah akhbar seperti NST dan The Star sudah menjadi lebih lantang menguji sejauh mana sempadan kritikan yang Pak Lah berikan. Malah masing-masing di kalangan akhbar arus perdana sudah giat untuk menunjukkan bahawa mereka bebas daripada kuasa pengampang dan mahu memulihkan kredibiliti mereka untuk menidakkan kritikan yang dibuat oleh Tan Sri Musa Hitam dalam forum ISIS. Usahlah kita bicarakan lagi tentang kelantangan Internet dan 500,000 laman blog buatan Malaysia.

Hari ini, kita tidak dengar lagi kisah-kisah seperi Johan Jaafar, Nazri Abdullah, Abdullah Kok Lanas, Kadir Jasin dan ramai lagi penggiat media yang diminta bersara. Malah ada di kalangan mereka yang diterima kembali. Sebaliknya hari ini kita lihat bahawa Pak Lah sendiri yang diminta bersara. Kontradiknya ramai yang akan kepanasan, tidur tak lena diburu mimpi ngeri jika mereka melanggar sempadan yang telah ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi era sebelum Pak Lah dahulu. Pemimpin sebegitukah yang kita mahu, atau pemimpin yang lebih telus dan berintegriti?

Juga sebelum era Pak Lah, di IPTA, ramai ahli-ahli akademik yang mengeluh kerana ‘dibekukan’ perjawatan mereka, dan ada yang ditukarkan hanya kerana melahirkan pendapat yang membangkang di kafeteria atau di kedai-kedai kopi. Tak perlu saya sebut siapa dan di mana. Ramai perisik-perisik kepimpinan sebelum era Pak Lah yang memasang telinga di sana-sini sehingga ada yang membawa buku catatan untuk mencatatkan apa yang dikritik dan pukul berapa kritikan dibuat. Inilah yang menekan rakyat malah ahli akademik dan cendekiawan menjadi ‘bigot’ dan ‘paranoid’ sehingga mereka memeram perasaan dan berlakon pelbagai watak protagonis ketika berhadapan dengan orang-orang ‘tertentu’ yang mempunyai jaringan dengan kepimpinan tertinggi negara atau yang ditanggapi sebagai perisik kepimpinan tertinggi.

Pilihan Raya 2004 saya tanggapi disapu bersih oleh Barisan Nasional bukan kerana ‘faktor Pak Lah’ tetapi lebih kepada faktor ‘perletakan jawatan kepimpinan tertinggi sebelum Pak Lah.’ Dan Pak Lah telah membawa pendekatan yang lebih mulia: suatu sfera masyarakat yang lebih mengutamakan kebebasan bersuara.

Anehnya hari ini orang-orang di sekeliling yang amat menyokong pihak pemerintah dahulunya, yang menjadi perisik tidak rasmi pemerintah, sudah berani dan terang-terang mencaci Pak Lah, menghina Pak Lah, malah meminta Pak Lah meletakkan jawatan tanpa mereka sedar bahawa kebebasan mereka bercakap itu adalah kebebasan yang sebahagiannya adalah hasil integriti Pak Lah sendiri. Jika orang yang berada di atas sudah berani mencaci-cerca apatah lagi pihak bawahan.

Mengkritik dan mengopah pekung orang lain amat mudah; anehnya orang yang mengkritik sering merasakan bahawa mereka lebih hebat daripada mangsa yang dikritik.

Rakyat tidak melihat ketelusan dan integriti Pak Lah sedemikian tetapi sebaliknya rakyat menggunakan kebebasan bersuara itu untuk menghentam Pak Lah kembali. Sikap sebegitu tidak pernah kita lihat pada era kepimpinan tertinggi terdahulu kerana rakyat terutamanya pegawai kerajaan dan ahli akademik menjadi ‘bigot’ dan ‘paranoid’ apabila cuba mengkritik kepimpinan tertinggi negara.

Hari ini barulah Pak Lah sedar (lihat akhbar arus perdana 7 April) bahawa ramai daripada kalangan kepimpinan Barisan Nasional sendiri yang menikamnya dari belakang semasa Pilihan Raya lalu: terutamanya orang yang telah memilihnya sebagai pengganti.

Selepas ini kita mahu lihat, Pak Lah benar-benar beriltizam untuk mengotakan kata-katanya: ‘gerakkan BPR supaya menyiasat kepimpinan tertinggi terdahulu’ serta warisan-warisan rasuah yang telah mengikis kepercayaan rakyat terutamanya dalam isu integriti dan kemurnian kehakiman negara. Dan kita harap Pak Lah sendiri bersih daripada tuduhan rasuah dan skandal yang tidak mahu rakyat dengar. Rakyat mahu pemimpin mereka ‘bukan sahaja dilihat bersih tetapi mestilah difikirkan bersih.’
Author: voice
Category: General

Pilihan Raya: Memilih yang Relevan

Posted on 07/03 11:40
oleh Dr. Rahmat

Soal keharmonian sosial dan perpaduan kaum telah menjadi agenda nasional negara sejak merdeka. Ia datang serangkai dengan falsafah mempertahankan keselamatan negara dan peruntukan perlembagaan ke atas hak keistimewaan kaum pribumi. Di mana-mana jua negara yang mengandung komposisi pelbagai kaum, agenda keharmonian sosial telah diangkat sebagai falsafah utama. Jika tidak risikonya amat tinggi sebagaimana huru-hara yang berlaku di negara Balkan atau pembersihan etnik yang dikaitkan dengan Hitler.

Dengan falsafah itu jualah UMNO yang pada sejarah pascapenjajahan Jepun di Malaysia telah berjuang menuntut kemerdekaan secara sendirian: menentang komunisme dan juga penjajah British. Namun kemudiannya telah sudi menerima kehadiran MCA dan MIC atas syarat-syarat yang diletakkan oleh penjajah British sebelum memperkenankan kemerdekaan. Segalanya tercerna dalam suatu kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua pemimpin kumpulan ethnik yang dorminan di Malaysia pramerdeka.

Pada hari ini konsep masyarakat berbilang kaum dalam pentadbiran negara mahupun politik telah menjadi tradisi kesinambungan falsafah dalam Barisan Nasional. Kali ini ia bukan sahaja dibarisi oleh UMNO, MCA dan MIC tetapi juga Gerakan, PPP dan lapan lagi parti komponennya yang lain.

Rundingan adalah wahana utama yang digunakan untuk menyelesaikan sebarang masalah. Namun daripada eksploitasian ideologi yang sempit, oportunis, tamak, prejudis dan rasisme wujudlah parti-parti serpihan yang memesongkan fikiran rakyat dengan falsafah-falsafah genjot yang lari daripada konsep keharmonian sosial dan perpaduan kaum.

Kita tahu DAP adalah serpihan daripada PAP Singapura yang suatu ketika dahulu amat lantang menentang peruntukan perlembagaan ke atas Bahasa Melayu dan, hak dan keistimewaan kaum Melayu. Manakala Pas pula adalah serpihan UMNO yang menjadikan agama sebagai syarat utama dalam menentukan tampok pemerintahan. Lalu ia secara naturalnya juga menjurus kepada falsafah etno-sentrik kerana Melayu itu Islam dan menjadi tidak relevan kepada kaum lain yang mendukung agama lain. PKR pula lahir daripada kekecewaan dan sikap oportunis pemimpin tertentu yang gagal menghayati falsafah kesabaran, berhemah dan keutamaan terhadap keharmonian sosial. Lalu lolongan dan jerit pekik jalanan menjadi lambang ketamadunan pengikut dan pemimpinnya.

Hari ini kita sedar bahawa komposisi kaum di Malaysia amat kritikal terutamanya dalam konteks perseimbangan kuasa politik. Namun bersandarkan rasional perpaduan kaum, Barisan Nasional dilihat lebih terbuka dan seimbang dalam hal mengagihkan calon-calon pilihan raya mengikut komposisi kaum.

Kontradiknya kita lihat barisan calon DAP seperti tidak peka terhadap pengagihan kerusi mengikut komposisi kaum. Di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan, DAP seperti menutup sebelah mata dengan kewujudan sifar calon daripada kaum Melayu/Bumiputera. Apakah falsafah PAP di Singapura menjadi cerminan dan pegangan agenda DAP? Bayangkan falsafah perpaduan kaum bagaimanakah yang boleh diamanahkan kepada DAP.

Sedangkan Pas mula melaungkan agenda tersembunyi yang menyarankan pengundi supaya ‘tidak mengundi calon bukan Islam’ (lihat Utusan Malaysia 4 Mac). Pendekatan sedemikian juga secara prinsipnya menolak kehadiran pemimpin daripada kaum lain selain Melayu. Soal maki hamun, caci cerca dan pelabelan jijik kepada pihak lawan telah diangkat sebagai halal dari prinsip agama yang dibawa oleh PAS. Lalu semua pengikut UMNO menjadi orang hutan kepada Pas. Kita tidak hairan kerana sebelumnya UMNO dilihat sebagai khafir.

Hari Jumaat nanti pastinya kita akan lihat pelbagai risalah yang ditabur pada lantai-lantai masjid untuk mengutuk dan menghentam mana-mana pihak yang tidak menerima falsafah PAS. Nak ke syurga undilah Pas. Sesiapa sahaja menjadi amat mudah untuk menempah tiket ke syurga.

Lalu para jemaah pun melatah dan terus lupa tentang hakikat bahawa siapakah yang lebih rasional dalam hal perpaduan kaum, keharmonian sosial dan keselamatan negara?

Bagi pemimpin tertinggi PKR pula sikap ‘talam dua tiga muka’ telah menjadi falsafah survival mereka lalu ada di kalangan pemimpin mereka yang bertukar menjadi sesumpah yang berubah rupa mengikut habitatnya. Di kalangan Melayu, mereka mahu DEB diteruskan, di kalangan kaum Cina mereka mahu DEB dihapuskan.

Namun kaum Cina jangan lupa tentang titik punca ‘Operasi Lalang 1987’ yang dijadikan oleh pemimpin yang sama juga untuk menafikan bahasa Mandarin dalam pendidikan di Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Senario ini menjadi lebih huru hara kini apabila Hindraf yang berkempen supaya kaum India tidak memilih calon UMNO pada Pilihanraya Umum ke-12 ini. Apa pula kata Suqui?






Author: voice
Category: General

Isu Perpaduan Kaum Di Malaysia

Posted on 18/01 20:29
Dr Rahmat Ghazali

Usaha kerajaan untuk mewujudkan ‘sistem amaran konflik perkauman’ sebagaimana yang dicanangkan tahun lalu mengheret beberapa persepsi terhadap pencapaian negara dalam usaha menyemarakkan perpaduan kaum. Antara persoalan yang terbangkit ialah sejauh manakah usaha kerajaan selama ini berhasil untuk memakmurkan perpaduan kaum, dan apakah pencapaian usaha perpaduan kaum selama ini amat lemah sehingga kerajaan memerlukan suatu sistem indikator bagi mengesan konflik perkauman.

Pada junktur sejarah, usaha serius Malaysia ke arah perpaduan kaum dilihat mula bercambah setelah tercetusnya tragedi 13 Mei apabila Majlis Perpaduan Negara dan selaras dengan itu Kementerian Perpaduan Negara ditubuhkan. Namun saya lihat bahawa bibit-bibit usaha ke arah yang sama juga telah dibenihkan dalam Perlembagaan Kemerdekaan 1957 lagi. Dalam konteks ini klausa-klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjurus kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, peruntukan pelaksanaan sekolah jenis kebangsaan dan penggunaan bahasa kaum minoriti, telahpun dimaktubkan melalui Artikel 152 dan 153, yang seringkali kita rujuk sebagai ‘kontrak sosial’ antara pemimpin-pemimpin parti pelbagai etnik yang dominan di Malaysia.

Sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh kajian Furnival (1956), negara-negara Dunia Ketiga pascamerdeka amat teruk dikacaubilaukan oleh penjajah dengan polisi ‘pecah dan perintah’. Polisi sedemikian juga amat lumayan diamalkan oleh pihak British ke atas datuk nenek kita dahulu sebelum merdeka kerana pendekatan sedemikian menguntungkan pihak penjajah. Bagi Furnival falsafah sedemikian telah mewujudkan dan mengukuhkan pluralisme atau suatu bentuk masyarakat berbilang kaum yang ‘they mix but do not combine’ atau dalam bahasa ibunda, ‘mereka bercampur tetapi tidak bersatu.’ Bagi Furnival falsafah pluralisme sedemikian lebih banyak mendatangkan bencana kepada kestabilan sosial dan politik negara. Menurut Dr Candra Muzaffar, masyarakat kita lebih cenderung kepada hubungan ‘fungsional daripada hubungan empatetik’. Makudnya kita sekadar berhubungan di pejabat, di pasar dan di tempat kerja, tetapi kita tidak mahu berkongsi masalah yang melampaui sempadan-sempadan persekitaran tersebut.

Sebaliknya kita juga sedar bahawa ‘perpaduan kaum’ adalah pemboleh ubah penting dalam menentukan kestabilan politik, sosial, malah ekonomi. Perpaduan kaum itu menuntut hubungan ‘empatetik’ sebagaimana disarankan oleh Dr Chandra. Mana-mana kerajaan jua pastinya berusaha untuk menentukan elemen-elemen penting perpaduan kaum ini digarap supaya pembangunan sosial, ekonomi dan infrastruktur dapat dicapai. Konsep masyarakat majmuk sebagaimana yang dilihat oleh Furnival, memperakui dan membenarkan keperbedaan nilai, norma, budaya dan adat resam sesuatu kaum minoriti. Malah dalam konteks Malaysia, kerajaan amat prihatin dan kaya timbang rasa sehingga toleransi dalam konsep pluralisme itu, tanpa disedari, sedikit-sebanyak telah menjadi peyumbang kepada benih-benih perkauman sesama kita.

Pada suatu ektrim tertentu saya melihat bahawa usaha jitu kerajaan untuk memakmurkan dan menyuburkan perpaduan kaum melalui program perpaduan kaum antara masyarakat berbilang etnik telah banyak terganggu dan kadangkala terbantut pada kadar yang tidak sanggup kita perakui. Tanpa niat mencabar Perlembagaan, melalui falsafah yang didokong oleh Artikel 152 (memberi hak kepenggunaan bahasa minoriti), saya melihat seakan-akan wujud konflik dengan falsafah yang didokong oleh Artikel 153 (menekankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi).

Saya juga terlihat Artikel 152 telah menyuburkan kewujudan sekolah-sekolah monoetnik, dan media massa monoetnik yang memberikan tumpuan kepada etnik-etnik yang diperwakilkan melalui bahasa ibunda masing-masing. Malah kita lihat papan tanda iklan kedai-kedai di mana-mana bandar di Malaysia lebih mengutamakan bahasa ibunda masing-masing daripada mengangkat falsafah Artikel 153.

Dalam persekitaran yang keterasingan sedemikian saya lihat aliran dan hala tuju perpaduan kaum tidak menggalakkan pertembungan budaya yang dibawa oleh sistem sekolah monoetknik, dan begitu juga media massa monoetnik. Hal ini menjadi semakin rumit apabila institusi politik kita juga di lihat tertegak atas falsafah monoetnik yang turut memakmurkan konsep pluralisme Furnival.

Profesor Hamdan Adnan, bekas Pesuruhjaya Suhakam, pernah mencatatkan bahawa daripada tahun 1945 hingga 1969 sejumlah dua puluh dua insiden pergeseran etnik telah berlaku, dengan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai insiden yang paling dahsyat. Saya gusar dan sangsi jika statistik sedemikian menurun kerana kadangkala diri kita sendiri seringkali menutup sebelah mata untuk mendedahkan secara serius isu-isu sedemikian.

Misalnya Malaysia tidak sunyi daripada peristiwa yang condong kepada perbalahan etnik seperti peristiwa penentangan Dong Jiao Zhong terhadap dasar kementeraian pendidikan pada tahun 1987 yang membawa kepada pelaksanaan ‘Operasi Lalang’, yang menurut beberapa pemerhati politik, hampir sahaja mengulangi peristiwa 13 Mei. Perbalahan pengurusan sebuah kuil Hindu dan masjid di Kampung Rawa, Pulau Pinang pada tahun 1998, tragedi Kampung Medan pada tahun 2001, peristiwa pergaduhan etnik antara peserta PLKN, dan isu mahasiswa UM (malah di semua universiti di Malaysia secara amnya) yang tidak mesra dalam bentuk hubungan silang-etnik, mungkin mengundang kita untuk sama-sama memikirkan tentang kejayaan dasar dan modus operandi perpaduan kaum negara.

Mungkin juga pada suatu ekstrim yang lain, peristiwa-peristiwa berkenaan hanya sekadar kes-kes terpinggir yang tidak harus dilihat sebagai perbalahan etnik tetapi sebaliknya hanyalah perbalahan dua pihak yang boleh saja berlaku dalam kandang intraetnik itu sendiri, dan bukan sekadar dalam persepsi silang-etnik. Sebagaimana lunaknya peribahasa Melayu yang mengatakan bahawa ‘sedangkan lidah lagi tergigit’ apatah lagi situasi iklim kepelbagaian etnik di Malaysia yang bersandar kepada perbezaan bahasa, budaya dan agama sebagai komponen sensitif yang menuntut toleransi tinggi sesama kita.

Walau bagaimanapun kita tidak boleh memandang ringan pada perkembangan hubungan ethnik kontemporari sebagaimana terpancar daripada usaha kerajaan untuk menubuhkan ‘sistem amaran konflik perkauman’ yang akan berpusat di Putrajaya. Nampaknya dengan tertubuhnya sistem sedemikian, kerajaan telah mencari pendekatan ‘adhoc’ iaitu mencegah perbalahan etnik daripada mencambahkan dan menyuburkan benih-benih hubungan mesra antara kaum. Mungkin persepsi saya salah, kerana sebenarnya kerajaan mengutamakan kedua-duanya sekali.

Meninjau realiti politik dan sosial di Malaysia, saya melihat bahawa terdapat elemen-elemen pendekatan yang diambil oleh Malaysia dalam hal membina perpaduan kaum, agak berbeza dengan pendekatan yang dianggap sebagai arus perdana di Barat. Pendekatan yang digunakan oleh kepimpinan Malaysia dalam beberapa aspek berada dalam ekstrim yang bersongsangan berbanding dengan teori perpaduan kaum yang disarankan oleh pemikir-pemikir Barat dan yang diamalkan di sebelah sana.

Amerika dan beberapa negara Eropah seperti Britain dan Perancis misalnya menggunakan konsep ‘melting pot’ atau ‘acuan pelebur’ dalam pendekatan mereka untuk menyatukan pelbagai etnik minoriti, etnik peribumi, dan etnik dominan dalam negara. Dalam proses peleburan itu budaya etnik minoriti terlebur, tercerna, teradun malah sesetengahnya tersirna dalam budaya majoriti yang dominan. Namun di Malaysia kita lihat konsep ‘acuan pelebur’ itu tidak wujud, sebaliknya yang wujud ialah konsep ‘salad bowl’ atau ‘mangkuk sayur-mayur’ yang tidak meleburkan mana-mana unsur etnik tetapi mempersatukan kepelbagaian warna kulit dan budaya dalam satu persekitaran ynag sama.

Dalam konteks yang sama di Britain, sama ada mereka bersetuju atau tidak, juga telah berlaku proses asimilasi budaya yang kadangkala terpaksa mengorbankan malah melenyapkan bahasa dan budaya nenek moyang golongan minoriti tertentu.

Bagi sesetengah budayawan, yang menolak model asimilasi, mereka melihat pendekatan ini sebagai satu bentuk ‘penjajahan dalaman’ kerana dalam proses ini berlaku eksploitasi golongan majoriti terhadap golongan minoriti. Namun dalam banyak contoh di sebelah Barat, golongan majoriti itu adalah juga merupakan pihak pemerintah yang melaksanakan dasar memperlemahkan budaya dan bahasa minoriti atas nama perpaduan kaum.

Dalam konteks ini, banyak kerajaan Barat yang mempertegaskan penggunaan bahasa rasmi sebagai satu-satunya bahasa komunikasi tanpa sebarang kompromi, baik dalam urusan perkhidmatan awam, pendidikan asas di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Demi mewujudkan perpaduan kaum, ada kerajaan yang mengharamkan penggunaan dan pengajaran bahasa ibunda golongan minoriti sehingga ke tahap menguatkuasakan hukuman ke atas para pelajar yang berkomunikasi antara mereka dalam bahasa minoriti di dalam kawasan dan persekitaran sekolah. Kerajaan Perancis misalnya telah hampir mengharamkan terus penggunaan bahasa Breton, kerajaan British mengharamkan bahasa Welsh dan kerajaan Scotland telah melenyapkan bahasa Gaelic di bumi Scotland. Berbeda dengan Malaysia, kebanyakan kerajaan Barat menolak sama sekali kewujudan sekolah-sekolah monoetnik dan media massa monoetnik.

Dalam konteks perpaduan kaum, Malaysia juga menghadapi banyak masalah kerana kepercayaan dan perbezaan agama tidak memungkinkan proses asimilasi berlaku. Asimilasi dalam konteks budaya juga tidak berjalan lancar kerana setiap kaum melihat bahawa budaya dan tamadun bangsa mereka masing-masing lebih dominan daripada yang lain. Orang-orang India melihat keagungan tamadun Indus yang bermula pada 2500 S.M. lebih agung daripada tamadun Melayu yang mereka lihat hanya bermula pada kira-kira lima ratus tahun dahulu (jika Kesultanan Melaka menjadi tanda aras). Kaum Cina pula melihat ketamadunan China yang bermula kira-kira 2000 S.M. di Peking jauh lebih hebat daripada tamadun Melayu. Banyaklah elemen-elemen ketamadunan ini yang boleh mereka rasionalkan untuk menyokong kelangsungan budaya mereka masing-masing.

Dengan perkiraan sebegini kadangkala saya lihat bahawa kerajaan juga menjadi serba salah dalam hal menentukan halatuju kebudayaan nasional. Misalnya, pada tahun 1982, Tun Mahathir pernah menyatakan bahawa ‘Budaya Melayu harus menjadi ciri-ciri utama budaya nasional, supaya diterima dan diamalkan oleh semua kaum. Malah terdapat juga yang mahukan budaya Melayu dijadikan satu-satunya elemen budaya nasional’ (dipetik daripada Munro-Kua 1996).

Walau bagaimanapun pada tahun 1995, Tun Mahathir dengan jelas menyatakan bahawa konsep perpaduan kaum tidak lagi bertunjangkan kepada konsep yang berasaskan budaya Melayu. Menurut Tun, ‘Bangsa Malaysia membawa maksud rakyat yang dikenali sebagai membawa identiti Malaysia, menuturkan bahasa Melayu dan meluhurkan Perlembagaan. Untuk merialisasikan bangsa Malaysia, rakyat harus mula menerima kewujudan masing-masing seada-adanya, tanpa mengira kaum dan agama’ (dipetik daripada Francis Loh Kok Wah dan Khoo Boo Teik 2002). Ertinya rakyat Malaysia harus dilihat sebagai Melayu, Cina dan India sebagimana terpancar melalui amalan budaya masing-masing. Konsep ini condong kepada konsep pluralisme Furnival.

Namun pendirian kerajaan yang sedemikian terhadap perpaduan kaum seperti berdiri atas platform yang berbeza pula jika dilihat pada matlamat yang didokong oleh Wawasan 2020, kerana ia diangkat sebagai suatu ‘Bangsa Malaysia’ tanpa melihat perbedaan warna kulit dan amalan budaya. Secara idealnya tidak akan wujud lagi Melayu, Cina atau India jika Wawasan 2020 direalisasikan. Konsep ini condong pula kepada konsep asimilasi.

Jelaslah bahawa di Malaysia pendekatan asimilasi dirujuk semula kerana saya kira pendekatan inilah dilihat sebagai yang terbaik untuk membina perpaduan kaum yang utuh dan tulen, sekurang-kurangnya dalam konteks peleburan bahasa ibunda etnik minoriti. Pendekatan sedemikian telah lama dibuktikan terbaik bagi Malaysia, misalnya dalam konteks golongan Baba Nyonya di Melaka dan juga di Pulau Pinang, golongan India peranakan atau Mami di Pulau Pinang, dan Arab Peranakan telah meleburkan sehingga mengorbankan bahasa nenek moyang mereka. Malah di kalangan golongan Baba Nyonya tercipta bahasa ‘kreol’ mereka yang tersendiri yang pastinya terbina daripada improvisasi bahasa ibunda golongan majoriti Melayu yang lebih dominan.

Amat jelas juga kita lihat bahawa budaya golongan minoriti dalam konteks asimilasi sosial teradun dalam acuan budaya Melayu meskipun secara halusnya terdapat perbezaan di sana-sini. Namun, jika budaya nasional Malaysia boleh diterjemahkan sebagai budaya etnik peribumi Melayu sebagai asasnya, maka saya lihat bahawa budaya Baba Nyonya, India Peranakan dan Arab Peranakan ini telah menjelmakan satu proses perpaduan kaum yang utuh dan tulen.

Namun realitinya dalam konteks kontemporari, dasar perpaduan kaum Kerajaan Malaysia amat mesra dan bertoleransi terhadap bahasa etnik minoriti. Penggunaan bahasa etnik minoriti tidak pernah dikenakan hukuman malah tidak pernah dilarang digunakan di mana-mana sekolah di Malaysia, meskipun di sekolah-sekolah kebangsaan. Malah diwujudkan pula sekolah-sekolah jenis kebangsaan dengan memberikan hak mutlak kepada etnik minoriti untuk menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengajaran.

Dengan ekstrim pendekatan pluralisme atau konsep ‘mangkuk sayur-mayur’ seperti di Malaysia kita lihat bahawa dalam situasi tertentu bahasa rasmi menjadi bahasa rojak, malah dicampuradukkan pula dengan bahasa Inggeris mungkin untuk menyuntik ciri-ciri lenggok komunikasi antarabangsa. Bahasa Melayu lisan telor Cina dan telor India menjadi tegar diamalkan bukan sahaja apabila golongan ini berkomunikasi sesama mereka, malah disokong dan disuburkan oleh golongan Melayu sendiri ketika berkomunikasi dengan kaum India dan Cina.

Saya percaya bahawa untuk menjaga martabat bahasa rasmi, penggunaannya mesti juga terlaksana dalam situasi yang tidak formal, bukan sekadar dalam kandang situasi yang rasmi dan formal sahaja. Hanya golongan yang amat sensitif dan insaf sahaja yang beria-ia berjuang untuk mempertahankan gaya dan hukum-hukum tatabahasa bahasa rasmi negara, tetapi malangnya golongan ini seperti Tan Sri Profesor Ameritus Dr Awang Had Salleh, Tan Sri Profesor Dr Ismail Hussien, Profesor Dr Nik Safiah Karim, Dr Awang Sariyan, Dr Chandra Muzaffar, YB Dr Rais Yatim, dan SN A Samad Said, (sekadar menyebut beberapa nama) sudah seperti kehilangan golongan pelapis. Adakah ini suatu kepincangan dalam proses perpaduan kaum yang dicita-citakan Malaysia atau ia suatu kelebihan dan kekuatan pendekatan ‘mangkuk sayur-mayur’ Malaysia?

Akhir-akhir ini pula, kita lihat DBP mahu dinobatkan secara legitimasinya sebagai ‘polis bahasa’. Saya tidak tahu bagaimana polis ini akan melaksanakan tanggungjawabnya apabila melihat di kebanyakan bandar di Malaysia, papan-papan iklan seringkali mengabaikan penggunaan dan pengutamaan bahasa Melayu. Malah bahasa rojak yang haru-biru dan celaru sudah menjadi identiti yang tegar di papan-papan tanda kedai. Namun pada sudut yang amat jauh dalam hati kecil ini, saya optimistik bahawa DBP akan berjaya walaupun terpaksa mengambil masa yang panjang yang penuh onak dan duri, dan sekali gus menyuburkan perpaduan kaum. Saya juga yakin bahawa kejayaan tersebut haruslah dimulakan dengan semangat kecintaan yang tinggi setiap rakyat terhadap negara ini.



Author: voice
Category: General

Tenaga nuklear Iran: kempen Amerika tercabar

Posted on 31/12 11:27
Sidang Kemuncak Laut Kaspia di Tehran pada 16 Oktober lalu adalah suatu manifestasi kepada semangat setia kawan negara-negara Laut Kaspia terhadap Iran dan sekali gus menyokong projek tenaga nuklear Iran.

Persidangan itu telah memutuskan bahawa Rusia, Azerbaijan, Kazakhstan, Turmenistan dan Iran sendiri, tidak akan membenarkan mana-mana negara Barat menggunakan ruang udara mereka untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran atau mana-mana negara anggota Perjanjian Laut Kaspia. Justeru kesepakatan tersebut telah menghantar suatu mesej yang jelas terhadap dakyah Amerika dan konco-konconya, terutamanya Peranchis yang mahu mengambil tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Namun perkara prinsip yang menjadi fokus dunia ialah kehadiran Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang menjadi faktor utama mengimbangi tekanan dan bantahan dunia terhadap projek tenaga nuklear Iran. Lawatan kepimpinan tertinggi Rusia ke Iran sudah lama dinanti-nantikan sejak 1943 lagi; sejak kira-kira enam puluh tahun lalu.

Hubungan Iran-Rusia telah terpokah sekian lama apabila Rusia berperang dengan Mujahidin Afghanistan yang tidak disenangi oleh Iran. Iran juga, melalui kepimpinan Ayatollah Ruhollah Khomeini telah menunjukkan pendirian mereka yang tegas untuk menentang pengaruh Amerika apabila Shah Iran, Mohamaad Reza Pahlavi, digulingkan pada tahun 1979. Bekas Shah Iran itu ditanggapi amat intim hubungannya dengan Amerika. Antara lain, revolusi Iranlah yang telah mengapi-apikan prejudis Amerika terhadap Iran selama ini, di samping kebencian mereka terhadap Islam. Jelas kepimpinan Iran selepas Reza Pahlavi telah menolak tanggapan persekongkolan dengan dua kuasa besar dunia: baik dengan Rusia mahupun Amerika.

Namun dengan perkembangan terbaru ini, kehadiran Putin adalah suatu tamparan kepada kegenjotan pendirian Amerika terhadap Iran. Di tengah-tengah momok bahawa beliau akan dibunuh di Iran, Putin tidak mengendahkan proganda sedemikian yang dilihatnya sebagai usaha menggagalkan kerjasama dan sokongannya terhadap Iran. Sokongan Rusia dilihat amat penting untuk menyekat kuasa hegemoni Amerika di Asia Barat.

Amerika mahupun PBB, seharusnya empatatik dengan Iran yang telah berkali-kali mencanangkan bahawa projek nuklearnya adalah projek jana kuasa tenaga dan bukannya projek senjata nuklear. Malah menurut Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, negara-negara Laut Kaspia dengan penuh iltizam mempertahankan keamanan dan kebajikan di rantau itu dan mereka tidak akan membenarkan tragedi di Afghanistan, Iraq dan rantau Teluk berulang dan melarat di bumi Iran. Ahmadinejad juga melihat campur tangan dan kerakusan negara-negara Barat untuk merampok telaga minyak dan simpanan gas di Timur Tengah bertitik tolak daripada sikap regim zionis. Pada pandangannya, itulah punca utama kepada huru-hara dan ketidakstabilan di rantau Teluk.

Sokongan dan kesepakatan negara-negara yang bersempadan dengan Laut Kaspia pada sidang kemuncak itu diperkukuhkan lagi oleh pendirian dan sokongan China terhadap projek tenaga nuklear Iran. Dunia juga sedar bahawa pendirian China amat berpengaruh kerana sokongan sedemikianlah yang telah menjadikan Korea Utara optimistik dengan projek senjata nuklearnya walaupun telah menerima tekanan yang hebat daripada seluruh dunia. Walau bagaimanapun situasi Iran dalam konteks projek nuklearnya tidak harus dipandang daripada perspektif yang sama dengan kedudukan Korea Utara.

Hal ini harus kita lihat daripada bibit prejudis Amerika terhadap Islam yang turut disuntik ke negara-negara konconya. Melalui propaganda dan dakyahnya, Amerika telah menjadikan masyarakat Barat paranoid terhadap Islam dengan label ‘teroris Muslim’ yang dikaitkan dengan negara-negara Islam. Lalu wujudlah sindrom Islamofobia. Paranoia atau rasa takut yang melampau itu menjadikan mereka histeris apabila diketahui bahawa Iran akan membangunkan projek nuklearnya yang dilihat condong kepada pembangunan senjata ketenteraan.

El-Baradei, yang mengetuai program pemantauan PBB ke atas projek nuklear Iran, telah mengesahkan pada 28 Oktober lalu bahawa tiada bukti untuk mendakwa Iran sebagai sedang memperkasakan program senjata nuklear. Walau bagaimanapun PBB juga tidak pernah mahu mengambil tahu terhadap projek loji senjata nuklear Israel yang telah secara terang-terangan didedahkan kepada dunia. Semuanya mungkin dijustifikasikan oleh pandangan Barat yang berbeza terhadap kerakusan Israel dan projek sulit senjata nuklearnya yang diusahakan bersama-sama pakar nuklear Peranchis dan sumber uranium dari Afrika Selatan.

Dunia seperti tidak mengambil peduli apabila bekas pakar nuklear Israel, Mordechai Vanunu telah secara terbuka melaporkan kepada London Sunday Times tentang loji nuklear Israel di Dimona atau khususnya Pusat Penyelidikan Nuklear Negev, yang terletak di gurun Negev, selatan Israel. Kebolehpercayaan terhadap Vanunu tidak dapat disangkalkan kerana beliau telah bertugas sebagai salah seorang daripada tenaga pakar nuklear di Dimona selama sepuluh tahun (1976-1985). Malah Vanunu telah memperkukuhkan kesahan dakwaannya melalui rakaman foto yang jelas dan tidak disangkalkan oleh Israel.

Pendedahan Vanunu itu kemudiannya, melalui jaringan perisikan Mossad, telah mengheretnya ke penjara Israel selama 18 tahun, walaupun hakikatnya dia telah berhijrah ke Australia.

Menurut Vanunu daripada rekod sepanjang penglibatannya dengan projek senjata nuklear Dimona, Israel telah berjaya menghasilkan 100-200 senjata nuklear (dengan kapasiti 400-800 kg plutonium) dengan kadar penghasilan 40 kg plutonium setahun.
Walau bagaimanapun statistik sedemikian hanya dibuat oleh Vanunu pada tahun-tahun antara 1976 sehingga 1985. Bagaimana pula dengan tahun-tahun terkemudian yang dibantu oleh teknologi nuklear yang lebih canggih?

Dunia juga tahu bahawa teknologi senjata nuklear Israel ini telah dimajukan dengan kerjasama Peranchis sejak 1948 lagi. Mungkin inilah antara rasional yang menjelaskan mengapa Peranchis juga amat entusiastik menyokong tindakan ketenteraan terhadap projek tenaga nuklear Iran.

Israel sendiri tidak pernah menafikan projek senjata nuklearnya di Dimona, sebaliknya cuba mengheret negara-negara Timur Tengah apabila berkali-kali pucuk pimpinan regim zionis itu menegaskan bahawa “Israel bukanlah negara pertama yang memperkenalkan senjata nuklear di Timur Tengah.” Dengan kata-kata lain, Israel juga mengisyaratkan bahawa negara Timur Tengah yang lain juga telah memliki loji senjata nuklear yang serupa. Yang menghairankan mereka akan terpekik-terlolong bersama-sama Amerika untuk menyekat projek nuklear orang lain.

BBC pernah mempersoalkan program sulit senjata nuklear Israel. Masyarakat dunia juga diburu tanda tanya tentang ujian senjata nuklear yang dijalankan di selatan Laut Hindi pada 1979 yang disyaki diselenggarakan oleh Israel dengan kerjasama Afrika Selatan. Namun PBB dan pengaruh Amerika seperti sengaja membisu dan memejamkan mata apabila isu projek senjata nuklear Dimona didedahkan.

Prejudis terhadap ‘senjata kemusnahan massa’ atau ‘weapons of mass destruction’ Iraq telah dijadikan asas oleh Amerika untuk memusnahkan negara yang banyak menyimpan khazanah keimluan Islam itu terutamanya di kota bersejarah Baghdad. Walaupun akhirnya Amerika gagal menemui sebarang senjata yang didakwanya, Iraq tetap dimusnahkan dengan alasan lain pula: ‘peperangan untuk menegakkan demokrasi’. Adakah demokrasi liberal ‘ala Amerika’ menjadi suatu dogma yang wajib diamalkan oleh setiap negera merdeka di dunia ini? Kita lihat negara paling autokratik mengikut audit demokrasi dunia seperti Myanmar, tidak pernah diusik oleh Amerika melalui tindakan ketenteraan sehingga ke hari ini.

Dengan sikap Amerika sedemikian itulah Israel menjadi negara bangsa yang sombong dan bongkak kerana ia tahu kekuatannya tidak boleh ditentang oleh negara-negara di sekeliling yang memusuhinya atau lebih tepat lagi, negara-negara Islam. Israel juga percaya bahawa mana-mana negara tidak akan berani mengganggunya dengan kekuatan tenaga senjata nuklearnya yang dimiliki. Israel menjadi lebih superior lagi apabila jiran tetangganya hidup dengan penuh huru-hara. Inilah yang ditanggapi oleh Ahmadinejad sebagai justifikasi usaha Barat, khususnya Amerika, untuk memecah-belahkan negara-nagara Timur Tengah; supaya Israel menjadi superior dan lebih dominan di rantau itu. Tidak hairanlah jika mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir melihat Amerika sebagai proksi Israel dalam banyak tindak-tanduk dasar luar mereka.

Namun hari ini masyarakat dunia dan rakyat Iran khususnya, mungkin berasa lega apabila Rusia dan China berdiri sebagai negara yang tidak mahu tunduk kepada kuasa hegemoni Amerika, malah mereka mencabar kuasa hegemoni sedemikian. Sokongan Rusia dan China terhadap Iran pastinya membawa implikasi positif terhadap keamanan di rantau itu. Prinsipnya mereka telah membentuk perseimbangan kuasa sebagaimana suatu ketika dahulu sebelum runtuhnya Soviet Union pada 1991. Mungkin Rusia dan China boleh menjadi faktor penentu bagi mengelakkan tercetusnya Peperangan Dunia Ketiga.

Ikatan-ikatan perdagangan antara Iran dan China juga menjadi faktor penting dalam isu projek tenaga nuklear Iran. Baru-baru ini duta China ke Iran telah memperakui bahawa nilai perdagangan China dengan Iran telah meningkat kepada USD 20 billion setahun sama banyak dengan nilai perdagangannya dengan negara-negara Persatuan Eropah yang bernilai USD 22 billion setahun. Jelaslah bahawa hubungan Iran-China amat mahal nilainya.

Hubungan perdagangan sedemikian menunjukkan bahawa Iran bijak dalam mengendalikan dasar luarnya, tidak seperti Iraq yang gagal mendapatkan sokongan negara besar seperti Rusia dan China dalam Perang Teluk. Atau mungkin juga kejatuhan Iraq lebih condong kepada justifikasi terorisme yang dicanangkan oleh Amerika. Daripada perspektif lain dalam konteks hubungan dengan Iran, kuasa besar Rusia dan China telah lebih sedar tentang keserakahan nafsu dan pengaruh Amerika di Timur Tengah dan Asia Timur.

Dengan itu dunia juga melihat bahawa taktik Amerika yang mahu menjatuhkan satu-persatu negara-negara Islam di kawasan Teluk seperti rantaian domino setelah jatuhnya Afghanistan dan Iraq, mungkin tidak akan berjaya kali ini kerana Iran amat bijak dalam percaturan dasar luarnya. Sebagai negara pengeluar minyak keempat terbesar dan negara kedua mempunyai simpanan minyak terbanyak di dunia, Iran amat bijak menggunakan potensi sumber asli yang dimilikinya dalam percaturan politik antarabangsanya.

Selain itu bumi Iran juga subur apabila terbukti bahawa ia adalah antara sepuluh negara pengeksport buah-buahan terbesar di dunia. Malah Iran juga bijak memaparkan imejnya yang bersih daripada gambaran ‘terorisme’ Amerika. Rusia dan China berkali-kali menekankan bahawa selagi Iran tidak dikaitkan dengan terorisme, tidak ada sebab untuk Amerika dan PBB mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran, apatah lagi tindakan ketenteraan. Mudah-mudahan dunia tidak akan melihat serangan yang sama yang telah menimpa Iraq dan Afghanistan. Malah dunia pasti mahu melihat PBB menggeledah projek senjata nuklear Dimona Israel yang selama ini dirahsiakan.

Jika Amerika takut terhadap projek tenaga nuklear Iran, ia sepatutnya sepuluh kali lebih takut dengan projek senjata nuklear Israel, kerana dunia tahu melalui tragedi Sabra dan Syatila, Israel boleh menjadi histeris dengan senjata yang dimilikinya. Dunia sering menguar-uarkan secara negatif tindakan German suatu ketika dahulu tehadap kaum Yahudi, tetapi dunia jarang mempersoalkan mengapa German bertindak sedemikian.

Jelasnya pada hari ini, kamera media massa Barat lebih cenderung mengikut telunjuk Amerika sedangkan projek senjata nuklear Dimona Israel yang telah wujud sekian lamanya tidak pernah diberikan fokus yang tajam dan tepat. Selari dengan tanggapan sedemikian, hari ini kita dapat lihat, tidak ada sesiapa mempersoalkan gelojohnya negara penceroboh menyedut minyak daripada telaga minyak Iraq apabila media massa lebih banyak memberikan tumpuan kepada huru-hara dan pembunuhan yang berlaku saban hari di negara malang itu. Apa yang cuba ditonjolkan dan dipesongkan ialah Islam itu ganas dan huru-hara, sedangkan di balik tabir dengan rakusnya Amerika dan konco-konconya merampok minyak Iraq.
Author: voice
Category: General

Islamofobia dan paranoia Barat

Posted on 14/11 12:33
Saya masih teringat-ingat dan berfikir panjang tentang pengaruh media massa yang amat kuat terhadap khalayaknya ketika menyelak semula peristiwa Columbine High School di AS yang mencatat sejumlah kematian pelajar dan guru kerana pengaruh media massa. Pembunuh dalam kes tersebut termakan oleh propaganda media massa: “Untuk menjadi wira, hendaklah membunuh musuh sebanyak mungkin.” Dengan obsesi sedemikianlah pembunuhan di Columbine High School itu berlaku.
Kemudian saya membaca pula pengalaman ngeri Jackson Sawatan ‘Sepasang Kasut dan Selipar Jepun’ yang dicatat bersama rakan baik saya Mudanoran dari BERNAMA ketika berhadapan dengan Komander Robot, ketua Abu Sayaf di Jolo pada suatu ketika dahulu. Sebengis Komander Robot, beliau juga tunduk dengan media massa dan membenarkan orang-orang media melolosi kawasan merahnya. Falsafahnya amat jelas: media dan jaringannya amat penting untuk merealisasikan agenda. Tidak hairanlah jika Napoleon Bonaparte mengatakan bahawa empat buah akhbar lebih ganas daripada sejuta bayonet.
Betapakah lagi haru-birunya pentas jagat ini jika agenda tertentu dalam media massa diasak oleh CNN, Reuters, AFP, ABC, BBC, AP dan gergasi media dunia yang lain dalam konteks menghasut, membina, menanam dan mencambahkan kebencian terhadap Islam? Manusia sejagat mudah sekali hanyut dalam sfera media lebih-lebih lagi dalam era Internet dan WWW tanpa juga menolak pengaruh media tradisional seperti TV, radio dan akhbar cetak. Lihat sahaja CNN dan kempen Islamofobianya ketika memaparkan tragedi runtuhnya WTC New York. Kita diperlihatkan seakan-akan tragedi itu berlaku saban hari kerana imejannya diulang-ulang dan diulang-ulang setiap minit. Tidak lain lagi yang difikirkan oleh masyarakat dunia: ‘Islam itu ganas’ dan ‘ganas setiap masa’.

Islamofobia, daripada penilaian saya terhadap gelagat media massa hari ini sama seperti ‘senofobia’ (daripada bahasa asalnya ‘xenophobia’) iaitu suatu perasaan takut yang merasuk bersama-sama dengan kebencian terhadap sesuatu unsur asing yang ditanggapi sebagai ancaman. Ketakutan atau fobia yang merasuk ini menyerang individu, komuniti, masyarakat, cara hidup, negara, dan tamadun sehingga menjadikan individu dalam masyarakat itu paranoid atau dirasuk ketakutan yang melampau tanpa asas dan tanpa mahu melihat signifikannya serta realiti sekeliling. Dalam konteks Islamofobia ini juga, agama Islam digambarkan sebagai satu ancaman kepada tamadun Barat sebagaimana sebelumnya komunisme dilihat sebagai suatu ancaman besar kepada agama dan tamadun mereka.

Islamofobia menjadi hangat ketika timbul isu Salman Rushdie, pengarang British yang dilahirkan di India. Pada tahun 1988, Salman telah menulis sebuah novel bertajuk ‘Satanic Verses’ yang secara kasarnya ditanggapi sebagai mengutuk dan menghina Islam terutamanya melalui watak-watak utama dan watak pelacur yang dianalogikan dengan tokoh-tokoh Islam. Pada 12 Feb 1989, Ayatollah Khomeini, pemimpin Iran telah mengisytiharkan novel tersebut sebagai satu penghinaan yang besar terhadap Islam dan menjatuhi hukuman mati terhadap Salman. Dengan bantuan kerajaan British, Salman bersembunyi di bumi Britain. Novel tersebut diharamkan di serata pelosok bumi Islam; Afrika Selatan, Pakistan, Arab Saudi, Mesir, Somalia, Bangladesh, Sudan, Indonesia, Qatar dan juga Malaysia. Novel tersebut dicerca oleh masyarakat Islam Britain, di Pakistan enam orang mati dan 100 lagi cedera dalam satu tunjuk perasaan, lima buah kedai buku di England dibakar, manakala beberapa lagi tragedi yang meragut nyawa atas platform yang sama. Jutaan dolar ditawarkan oleh sebuah badan amal di Iran untuk melenyapkan nyawa Salman. Namun Salman masih hidup dan ironinya dia telah dianugerahkan gelaran ‘Sir’ oleh kerajaan British; pastinya untuk membakar kemarahan masyarakat Islam.

Islamofobia ini dirancakkan lagi dengan isu penghinaan terhadap Islam melalui isu-isu yang dibangkitkan oleh Naguib Mahfouz pada tahun 1994, isu penulis wanita Mesir Nawal El Saadawi yang lari ke Amerika dan juga Taslima Nasrin seorang pejuang hak wanita Bangladesh yang menyembunyikan dirinya di sebuah negara Barat kerana takut dibunuh oleh orang Islam.

Semua peristiwa yang disebut itu tersebar luas, disensasikan dan dimomok-momokkan melalui media massa sehingga membangkitkan secara perlahan-lahan dan halus, penyakit paranoia di kalangan masyarakat Barat serta kebencian yang melalut-lalut terhadap Islam. Gejala psikologi ini melarat pula kepada pembentukan imej Islam sebagai musuh dalaman kepada masyarakat Barat.

Hakikatnya masyarakat dunia juga boleh saja merasakan Kristianofobia; apabila kuasa-kuasa besar Eropah menjajah negara-negara lemah di Asia dan Afrika daripada abad ke-15 sehinggalah abad ke-19 dan sekali gus menyebarkan pengaruh Kristian serta budaya Barat, apabila Amerika menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, apabila Afghanistan dipunahkan oleh Rusia dan kemudiannya AS, apabila sebahagian Iraq dijadikan padang jarak padang terkukur, apabila umat Islam di negara Balkan dibiarkan dalam program pemusnahan etnik, apabila fasisme menjalar di negara Jerman, apabila Vietnam hancur lebur dikerjakan oleh AS dalam peperangan selama 30 tahun, dan apabila dunia membiarkan Israel menyembelih umat Islam Palestin.

Yang kita lihat dalam media massa hari ini, tentera Amerika dibunuh seorang dua oleh pejuang militan Iraq, tetapi kita tidak pernah diberitahu oleh media massa Barat bahawa saban hari ratusan ibu-ibu, anak-anak, dan orang tua yang mati dibunuh oleh tentera Amerika atau lebih wajar disebut ‘tentera penceroboh’ di Iraq. Sehingga hari ini lebih satu juta umat Islam Iraq telah mati dibunuh tanpa pembelaan yang signifikan oleh masyarakat dunia. Kita juga tidak terbaca ratusan wanita Iraq yang tidak berdosa dirogol oleh tentera penceroboh saban hari.

Hari ini kita lihat bahawa Islamofobia bukan sahaja disemarakkan oleh Perang Salib pada abad ke-11, atau Salman Rushdie, atau Taslima Nasrin dan lain-lain, sebaliknya ia digembar-gemburkan oleh agenda media massa Barat yang lebih besar lagi; isu Saddam Hussien, isu Al-Qaeda, isu Osama, isu terorisme, isu bom berani mati, isu Iraq, isu Palestin, isu jihad, isu nuklear Iran, isu Abu Sayaf di Mindanao, isu Muslim Selatan Thai dan semuanya bercantum seakan-akan menjadi agenda tersembunyi dalam satu pakatan untuk memusnahkan imej Islam sebagai agama suci di pentas jagat. Semuanya dipaparkan pada tirai media, dan tanggapan-tanggapan tentang buruknya Islam itu adalah hanya bersandarkan apa yang dipaparkan oleh media Barat.

Malangnya dalam konteks Iraq, kita sendiri amat percaya bahawa Allahyarham Presiden Saddam Hussien adalah pemimpin diktator yang ganas. Namun setelah berbual dengan seorang pensyarah Pergigian dari Iraq di UiTM Shah Alam beberapa hari lalu, beliau mengatakan bahawa gambaran tentang Saddam yang sedemikian adalah fitnah semata-mata; semuanya adalah momokan media massa Barat. Watak Saddam tidak sedemikian. Itu pandangan seorang wanita Iraq yang dilahirkan dan didewasakan di bumi Iraq. Nauzubillah, mudahnya kita dipengaruhi oleh media massa Barat.

Islam jika dilihat maknanya secara lateral adalah “keamanan, kesejahteraan, keselamatan dan pengabdian kepada Maha Pencipta (Allah Azawajalla)”. Ajaran Islam adalah universal sebagaimana yang disahkan oleh Firman Allah dalam Al-Quran sebagai kitab yang melengkapkan kitab-kitab sebelumnya. Islam tidak memandang pengikut Rasul-rasul sebelumnya atau yang disebut sebagai ahli kitab termasuk Yahudi, dan Kristian sebagai musuh, malah mereka perlu dilindungi sebagaimana Islam melindungi umatnya. Dalam Surah Al Imran ayat 84, Allah berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad), kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim dan lsmail dan Ishak dan Yaakub dan keturunannya dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa dan sekalian Nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)”.

Saya percaya bahawa momok-momok yang membangkitkan paranoia di serata jagat hari ini adalah sebahagiannya didorong oleh kejahilan penganut bukan Islam terhadap Islam. Saya kira amat wajar jika semua pemimpin agama duduk semeja dalam satu forum terbuka bagi menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan kesejahteraan manusia sejagat, Islam suka kepada perdamainan dan Islam menjanjikan keselamatan kepada semua manusia dan Islam tidak menzalimi umat agama lain seperti firman Allah dalam surah Al Kafirun ayat 6, “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”

Penganut agama lain tidak perlu gusar dengan kerajaan Islam apatah lagi umat Islam. Momok-momok melalui media massa yang timbul itu hanyalah agenda pihak tertentu kerana ingin mempertahankan dominasi kuasa mereka atas pentas dunia. Malah hari ini kita sedang lihat perlumbaan kuasa hegemoni antara Rusia, Amerika dan juga China. Kenapa Amerika terlalu mengambil berat tentang Saddam Hussein sedangkan senjata pemusnahan massa (WMD) juga terdapat di Israel, di Korea Utara, di Cuba, di China dan di Amerika sendiri? Kenapa harus ada pilih kasih dalam konteks ini? Namun dunia tahu bahawa Iraq adalah negara kaya minyak dan mereka tidak perlu menghiraukan Korea Utara atau Cuba atau Bosnia atau Mindanao atau Myanmar atau mana-mana yang miskin papa. Kuasa minyak boleh menentukan kuasa hegemoni.

Dalam persepsi yang sama kuasa nuklear juga adalah pembolehubah penting untuk memantapkan kuasa hegemoni. Maka tidak hairan jika bekas pakar nuklear Israel, Mordechai Vanunu, mendedahkan bahawa Israel telah pun menghasilkan lebih daripada 200 buah bom nuklear melalui projek nuklearnya di Dimona di kawasan padang pasir Negev. Dunia Barat tidak pernah mengambil peduli pun. Hari ini mereka menjadi panik apabila Iran mahu membangunkan projek loji tenaga nuklearnya. Atas rasional yang sama jugalah AS mahu tenteranya kekal lama di Iraq yang berjiran dengan Iran. Namun dengan sokongan China dan Rusia terhadap Iran, agenda AS sebagaimana terlaksana di Iraq akan menjadi amat rumit.

Saya kira sudah tiba masanya pihak Kristian atau Barat mengakui bahawa, “Apa yang telah berlaku adalah suatu kesilapan besar pihak Kristian dan yang bersekongkol dengan Barat, dan marilah kita perbetulkan semuanya ini. Marilah kita hentikan segala bentuk kezaliman ini. Marilah kita katakan kepada media massa supaya menghentikan segala agenda yang perlahan-lahan memusnahkan keharmonian jagat alam dan masa depannya.”


(Dr Rahmat Ghazali ialah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM)
Author: voice
Category: General

Menjengah tanggapan terhadap ‘Gelombang Kuning’

Posted on 06/11 09:46

Kita tentunya masih ingat bagaimana pihak berkuasa menaggapi perarakan raksasa pada 1987 yang dijangka akan disertai oleh setengah juta ahli UMNO. Semuanya dicetuskan oleh isu perlantikan guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang tiada latar pendidikan Mandarin oleh Menteri Pendidikan (Anwar Ibrahim) ketika itu. Sekali gus ia mendapat tentangan parti-parti politik kaum Cina termasuk parti komponen Barisan Nasional. Pihak polis melihat bahawa sekiranya perarakan raksasa itu berlangsung, besar kemungkinan peristiwa 13 Mei 1969 akan berulang kembali. Pastinya prasangka sedemikian didasari oleh sikap masyarakat kita yang mudah terangsang emosinya apabila ia dibakar sehingga ke peringkat obsesif, lebih-lebih lagi dalam hal etnosentrisme atau nasionalisme etnik. Ahli-ahli politik amat arif dalam hal membakar semangat rakyat ini.

Namun perarakan UMNO 1987 itu tidak dilaksanakan. Tidak jelas apakah faktor yang mengubah episod itu. Walau bagaimanapun kita tanggapi bahawa tindakan tegas polis dalam ‘Operasi Lalang’ yang menahan 106 orang termasuk ahli politik, pemimpin NGO serta penggiat media, dan didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), adalah penyumbang utama yang mencairkan krisis politik berkenaan. Di samping itu, beberapa buah akhbar juga telah digantung lesen mereka termasuk sebuah akhbar arus perdana. Saya perhatikan, sejak itulah lahirnya NGO seperti Suaram, Hakam dan beberapa lagi yang memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia.

Hari ini situasi tersebut mungkin sudah berubah. Kes ISA Malek Hussin telah menjadi preseden terhadap keterpesongan kes-kes yang didakwa di bawah ISA. Mahkamah Tinggi telah memenangkan Malek Hussin dan mengarahkan pihak defenden, iaitu polis dan kerajaan supaya membayar ganti rugi sejumlah RM2.5 juta kepadanya. Kes Malek menjadi mercu tanda kepada perubahan penghakiman bagi kes-kes ISA. Walau bagaimanapun kes berkenaan mungkin akan menjadi belokan ‘U’ apabila rayuan dibuat kemudiannya. Walau bagaimanapun ia menjadi titik hitam kepada pihak polis dalam konteks penggunaan ISA. Mengaitkannya dengan ‘Perhimpunan 10 November’ atau ‘Gelombang Kuning’ sebagaimana yang dicanangkan, kita pasti ia merupakan penyumbang kepada aspek spiritual pihak yang akan menyertai perhimpunan dan perarakan berkenaan. Pada episod kali ini, pihak polis harus berhati-hati dalam tindakan mereka.

Perhimpunan yang ditajai oleh ‘Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil’ (Bersih) adalah terdiri daripada parti-parti politik pembangkang, dan 25 NGO termasuk MTUC, Hakam, Persatuan Ulama Malaysia dan Solidariti Mahasiswa Malaysia. Perhimpunan berkenaan
akan berlangsung di Dataran Merdeka Kuala Lumpur tanggal 10 November ini pada jam 3 petang. Perhimpunan yang dipopularkan dengan label ‘Gelombang Kuning’ meminta perserta memakai baju-T berwarna kuning sebagai lambang kebebasan akhbar yang sekali gus juga membawa mesej protes. Bersih agak optimistik bahawa penyertaan akan melibatkan 100,000 peserta.

Perhimpunan itu juga akan direnteti oleh satu perarakan ke Istana Negara atas tujuan menyampaikan memorandum Bersih kepada Yang DiPertuan Agong yang pada dasarnya menuntut jaminan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya bersih dan adil atau dilihat dan dipercayai bersih dan adil, terutamanya menjelangnya Pilihan Raya Umum yang dijangkakan berlangsung sebelum akhir tahun ini. Tuntutan berkenaan pastinya didorong oleh insiden-insiden yang melibatkan gaya kerja SPR yang tidak dapat diterima oleh parti-parti pembangkang sebagaimana yang mereka tanggapi melalui pilihan raya lalu, terutamanya Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004.

Perkara utama yang dilihat menjadi penghalang kepada perhimpunan itu pastinya permit polis dan dengan itu perhimpunan tersebut akan didakwa melanggari Akta Polis 1967 di bawah Seksyen 27 (3) sekiranya permit tidak diperoleh. Walau bagaimanapun pihak penganjur telah memetik pandangan Suhakam bahawa sesuatu perhimpunan aman tidak memerlukan permit polis. Sebagaimana yang disiarkan melalui laman web Bersih, Persuruhjaya Suhakam, Dato N Siva Subramaniam, menjelaskan bahawa ‘hak berhimpun secara aman mesti dibenarkan seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 20, United Nation Declaration of Human Right (UDHR)’. Kenyataan pihak Polis yang berkontradik dengan pandangan Suhakam dan Bersih sendiri pastinya akan mengundang huru-hara pada hari berkenaan. Kesangsian tentang kelancaran perhimpunan Gelombang Kuning itu terbangkit kerana ramai yang pesimistik tentang keselamatan jika pihak polis tidak mengeluarkan permit.

Kita tidak menjangkakan apa-apa keburukan daripada perhimpunan Gelombang Kuning itu kecuali jika ia bertukar rupa menjadi perhimpunan yang ditanggapi ‘haram’ oleh pihak polis. Tanggapan sedemikian akan membentuk suatu rantaian implikasi apabila peserta menjadi emosional dan obsesif sebagaimana yang boleh kita lihat di mana-mana perhimpunan serupa semasa berlangsungnya gerakan reformasi, peristiwa perarakan selepas Pilihan Raya 1969, peristiwa perhimpunan 100,000 di Jalan kebun, peristiwa perhimpunan Batu Buruk dan banyak lagi perhimpunan serupa yang didasari oleh suara-suara protes terhadap kerajaan dan parti pemerintah. Ia dikucar-kacirkan lagi dengan pendirian polis yang melihat permit sebagai alasan penting untuk bertindak secara wewenang (sila rujuk kes Malek).

Pada peringkat awal ini lagi kita telah dapat menghidu insiden yang di luar jangkaan kerana pihak polis sendiri telah menekankan tentang isu permit yang termaktub dalam Akta Polis 1967. Banyak insiden yang telah mengajar rakyat bahawa protes yang sedemikian menjemput risiko yang besar. Tanpa kita sedari atau sememangnya kita sedar, akan ada pihak atau individu yang akan mengeksploitasi perhimpunan sedemikian dengan provokasi yang akan meleret dan merebak menjadi insiden berdarah. Dalam banyak insiden yang dilabelkan sebagai ‘tidak mendapat permit’, beberapa pihak telah menuding jari kepada pihak polis.

Apakah selama ini pihak kerajaan dan parti-parti pemerintah masih gagal menghidu keterpesongan sistem SPR, integritinya, dignitinya serta kegenjotan lain yang mencalarkan sistem demokrasi negara tercinta ini? Oleh kerana itu tidak bolehkah memorandum diserahkan kepada Yang DiPertuan Agong tanpa protes jalanan sedemikian? Atau sememangnya kita lebih suka mencatat sejarah dengan tinta darah dan korban jiwa. Apakah demokrasi negara tercinta ini sudah lunyai sehingga ia sama arasnya dengan negara Myanmar; negara yang paling mundur demokrasinya di sarwajagat ini? Reformasi Anwar Ibrahim yang meniru gaya ‘Reformasi Indonesia’ telah terbukti gagal sekiranya mahu diterjemahkan sebagai usaha menjatuhkan Tun Mahathir, sebagaimana jatuhnya Presiden Suharto. Patinya kita tidak boleh gelojoh dalam hal pemerolehan kuasa. Kita ada akal budi dan akal budi menolak ‘penderhakaan’, akal budi menolak keganasan, akal budi mengangkat kebijaksanaan dan budaya luhur.

Isu ‘pilihan raya bersih dan adil’ adalah isu pokok yang akan diberikan fokus. Namun daripada perkembangan mutakhir kita juga optimistik bahawa bukan isu itu sahaja yang akan disemarakkan oleh perhimpunan Gelombang Kuning, tetapi banyak lagi isu yang akan membakar emosi dan kewarasan peserta. Isu Altantunya belum lagi selesai, Isu Nurin Jazlin masih kabur, isu rasuah dan konflik tokoh-tokoh dalam jabatan polis baru sahaja didedahkan, isu pendatang haram masih menghantui rakyat, isu murtad, isu inflasi, isu perlantikan Ketua Hakim Negara masih panas dibibir masyarakat, isu peningkatan kadar jenayah (enam wanita dirogol setiap hari), malah isu pembaziran projek Angkasawan juga sudah diapi-apikan oleh pihak parti pembangkang. Semuanya akan mengheret kita kepada rasukan emosi dan seterusnya obsesif, yang boleh melarat kepada kejadian serupa seperti peristiwa 13 Mei. Namun kali ini kita tidak pasti siapa sasaran amukan rakyat itu.

Tidakkah kita juga akan mengheret konflik antara kerajaan atau golongan eksekutif negara dengan Yang DiPertuan Agong? Perhimpunan Gelombang Kuning boleh kita retorikkan sebagai hak rakyat untuk bersuara dan menagih keprihatinan istana terhadap kegenjotan sistem pilihan raya di negara ini serta kewibawaan SPR yang tercalar itu. Namun kita jarang mahu meneroka dan membetulkan asas kewujudan SPR yang diletakkan di bawah pengendalian Jabatan Perdana Menteri; kedudukan sedemikain pastinya menidakkan prinsip pemisahan kuasa yang dilihat amat penting dalam demokrasi berparlimen. Lalu kita melihat bahawa kita sebenarnya menyalak bukit dan lebih malang lagi menyalak pada bukit yang salah.

Kita juga faham bahawa pihak polis harus berwaspada kali ini kerana sensitiviti rakyat berada pada tahap yang amat kritikal, lebih-lebih lagi dengan pilihanraya yang amat hampir. Seandainya pihak polis mengambil pendekatan pada suatu ektrim positif dengan membenarkan perhimpunan protes itu, pastinya sekali lagi ia menjadi preseden kepada perhimpunan-perhimpuan yang akan datang. Kita suka jika itu (keprihatinan polis) berlaku bagi mengangkat kebebasan rakyat untuk bersuara, namun kita bimbang jika selepas ini kita akan sering melihat perhimpunan serupa di serata pelosok tanah air. Ia akan menjadi parasit kepada negara kerana akan mengganggu proses pembangunan negara, urusan perniagaan, mengganggu mobiliti rakyat dan pastinya memberi kesan negatif terhadap tanggapan pelabur asing, pelancung dan budaya murni kita. Walau apapun reaksi pihak kerajaan terhadap ‘Gelombang Kuning’ semuanya akan memberi kredit kepada pihak pembangkang. Jika salah perhitungan ia menjadi demerit pula kepada pihak parti pemerintah.

Pastinya apa yang kita jangkakan hanyalah sekadar tanggapan. Kita harap apa jua keputusan dan tindakan yang akan diambil oleh rakyat, janganlah sampai kita cacatkan semangat ‘Hari Raya’ yang masih mengerdip, dan cahaya ‘Deepavali’ yang menjelang tiba.
Author: voice
Category: General

Menyusu monyetkah kita?

Posted on 19/10 12:11
Suatu ketika dahulu kita sering memperkatakan tentang ‘minah kilang’ serta pandangan sinis masyarakat terhadap mereka. Namun saya tetap melihat peranan besar mereka kepada ekonomi negara terutamanya dalam hal mengangkat Malaysia sebagai negara pengeluar bahan-bahan elektronik yang sohor di peringkat antarabangsa. Sedikit-sebanyak golongan ini telah dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga yang hidup di bawah aras kemiskinan.

Namun hari ini peluang pekerjaan sedemikian telah dirampas sedikit demi sedikit oleh pekerja asing: bukan sahaja dari Indonesia, malah Bangladesh, Filipina, Myanmar, India, China dan Vietnam. Sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Malaysia: 2 juta wanita rakyat tempatan hilang pekerjaan kerana dibolot oleh pekerja asing. Mereka bukan sahaja datang ke bumi bertuah ini melalui saluran yang betul dari segi perundang-undangan namun ada sebahagiannya yang datang melalui jalan yang salah dan di luar batas undang-undang. Koresponden BBC Indonesia menganggarkan 3 juta rakyat Indonesia yang masuk ke Malaysia sebagai pekerja asing, namun 1.5 juta daripadanya adalah PATI atau pekerja asing tanpa izin. Statistik Jabatan Imigresen 2006 pula menyatakan bahawa terdapat 1.8 juta pekerja asing dengan izin (PADI) di Malaysia. Jabatan Imigresen juga mengesahkan bahawa 1600 pekerja asing dengan wewenangnya masuk ke Malaysia setiap hari: maka pada tahun ini sahaja setengah juta lagi PADI akan bertambah. Itu belum lagi dikira kemasukan haram. Sehingga bilakah kebanjiran pekerja asing ini akan dapat dibendung?

Daripada pandangan pendatang asing sendiri, terutamanya Indonesia, memasuki Malaysia sebagai PATI adalah lebih menguntungkan kerana mereka mudah meninggalkan majikan yang tidak sehaluan kata, memilih kerja berdasarkan tawaran gaji, dan memungkinkan mereka kembali ke negara asal pada bila-bila masa yang mereka suka. Sedangkan bagi pekerja yang datang melalui prosedur perundang-undangan, pergerakan mereka agak terhad dan dipantau kerana kekangan tertentu seperti pasport dan dokumen perjalanan mereka dipegang oleh majikan. Atas perkiraan sedemikian, tidak hairan jika mereka sanggup menghadapi risiko: rasuah, dan tekanan lain daripada pihak berkuasa. Justeru statistik bilangan yang masuk secara haram sama besarnya dengan statistik mereka yang masuk mengikut undang-undang.

Pastinya kita masih belum lupa pada 20 Julai 1993, sejumlah 47 PATI Indonesia telah ditemui mati lemas di persekitaran pantai Morib kerana perahu panjang yang membantu menyeludup mereka ke pantai Malaysia telah karam. Berminggu rasanya penduduk di sekitar Kuala Langat tidak mahu memakan ikan yang datangnya dari Tanjung Sepat atau persekitaran pantai Kuala Langat kerana ikan-ikan di situ ditanggapi telah memakan mayat-mayat yang hanyut dan reput. Pada 24 Julai tahun ini pula kita juga dikejutkan dengan kematian sembilan pendatang haram Myanmar dalam satu kemalangan jalan raya di Pahang. Pastinya ribuan lagi yang telah lolos dan dilupakan begitu sahaja.

Pernah juga berlaku kes pergaduhan yang melibatkan senjata di kalangan pekerja asing ini, misalnya di suatu pasar malam di Sijangkang, Kuala Langat, sehingga penduduk kampung di situ takut untuk membeli-belah di pasar malam itu lagi. Peristiwa sedemikian mengingatkan kita tentang pembunuhan antara kumpulan Ghee Hin dan Hai San dalam sejarah lombong bijih pra-Merdeka pada suatu ketika dahulu. Namun pergaduhan antara pekerja asing dengan rakyat tempatan juga pernah tercetus sebagaimana yang telah direkodkan di Pulau Pinang dan di Johor.

Kehadiran pekerja asing yang ramai itu juga telah menjadikan mereka dominan di bandar-bandar tertentu seperti di bandar Kelang, di Jalan TAR (Chow Kit Road), dan di kawasan KLCC pada waktu-waktu tertentu. Amat memalukan semasa YAB Perdana Menteri melaungkan kata-kata keramat ‘Merdeka’ di dataran Merdeka pada malam 31 Ogos lalu, saya lihat ramai yang hadir terdiri daripada pekerja asing. Kita boleh mengenali mereka daripada gaya pakaian mereka, paras rupa, bahasa dan tingkah laku.

Banyak persoalan yang timbul sejak akhir-akhir ini daripada rungutan masyarakat terhadap kebanjiran pekerja asing ini. Kes-kes jenayah seperti pecah rumah, rompakan, pencabulan seksual dan pergaduhan yang mengakibatkan pembunuhan, telah kerap dikaitkan dengan pekerja asing. Bayangkan dengan kewujudan mereka yang dominan di bandar-bandar utama negara seperti Shah Alam, PJ, Johor Baru, Pulau Pinang, Kulim dan sebagainya yang mempunyai kawasan industri. Mereka boleh sahaja membentuk koloni yang kuat dan tegar dan dari segi psikologi, rakyat tempatan menjadi gusar kerana rekod jenayah mereka yang signifikan. Bayangkan juga apabila mereka sudah berani menuntut melalui pejabat kedutaan seperti apa yang dilakukan oleh pendatang Bangladesh yang sudah pandai mendesak kerajaan melayani kehendak mereka melalui tindakan mogok, malah menuntut supaya majikan mereka ditukarkan.

Di kebanyakan kedai-kedai makan pula rata-ratanya yang melayani pelangan ialah rakyat asing. Kita juga merasakan bahawa identiti masakan kita di gerai-gerai makan sudah perlahan-lahan lebur. Malah kita gusar dan curiga terhadap tahap kesihatan rakyat asing yang bekerja di kedai-kedai makan ini. Bayangkan jika ada di antara mereka yang mengidap Hepatetis, Aids, batuk kering atau penyakit berjangkit kronik yang lain kerana mereka mudah melepasi saringan kesihatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pernah mengingatkan bahawa pendatang asing telah menyebabkan rakyat tempatan terdedah semula kepada penyakit berjangkit seperti batuk kering, malaria dan untut yang hampir berjaya dikawal sepenuhnya melalui program penjagaan kesihatan sejak 20 tahun lalu.

Yang paling membimbangkan ialah tindakan mereka yang di luar ketamadunan apabila menjadikan kerja-kerja rompakan dan pecah rumah sebagai punca pendapatan. Kita pasti sedar bahawa ‘kemiskinan adalah punca kekufuran’. Namun kemiskinan dan kelaparan bagi sesetengah mereka telah menghalalkan cara. Bayangkan pada tahun 2006 sahaja terdapat 42,343 kes jenayah berat yang sebahagiannya melibatkan pendatang asing. Adakah kehadiran penjenayah tegar dari negara asing berada di bawah kawalan dan pemantauan pihak berkuasa negara kita? Bagaimana jika golongan ini berada di bandar-bandar kita sebagai pekerja asing? Kita tidak seharusnya lalai bahawa negara Mynamar misalnya adalah negara yang paling rendah audit demokrasinya bagi semua negara di seluruh dunia. Apakah kewajarannya kita mengambil masyarakat pekerja begini masuk ke nagara kita? Cuba kita bayangkan sebuah negara seperti Vietnam yang telah lunyai dengan peperangan selama 30 tahun; pastinya pekerja asing daripada negara ini amat tegar dengan keganasan dan pertimbangan kemanusiaan menjadi amat murah di kalangan mereka. Wajarkah kehadiran golongan masyarakat begini di tengah-tengah kehidupan harmoni rakyat Malaysia yang bersopan santun, mudah berkompromi dan bertolak ansur?

Kita juga sudah terasa seperti berlaku neo-penjajahan apabila seringkali bertembung dengan koloni mereka yang besar di bandar-bandar kita, di kedai-kedai, di pusat membeli-belah, di restoran dan gerai-gerai makan. Kita tidak merasakan bahawa kita berada di bumi negara merdeka tempat tumpah darah sendiri; kita merasakan seperti berada di Jakarta, atau seperti di Dhaka. Isu kehadiran pendatang asing yang dominan di kawasan KLCC dan SOGO Pernas pada hujung minggu telah menjadi mimpi buruk bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang ingin makan angin dan membeli-belah di situ. Ia telah menjadi stesen lepak kepada ribuan pekerja asing.

Walau bagaimanapun, menganalisis isu ini, kita juga mendapati ada beberapa persoalan pokok yang mewajarkan kehadiran pekerja asing ke Malaysia: untuk memenuhi permintaan tenaga kerja industri elektronik dan juga perladangan yang didakwa oleh pihak usahawan sebagai kurang mendapat sambutan daripada rakyat tempatan.

Namun kita juga harus ingat bahawa tahap pendidikan negara ini telah meningkat. Peluang melanjutkan pelajaran terbuka luas. Kini di setiap negeri sudah ada universiti dan institusi pengajian tinggi yang menyediakan program pendidikan profesional dan separa profesional. Dengan itu juga secara lojiknya rakyat sudah pandai memilih kerja. Jika gaji yang ditawarkan tidak ada kewajaran dengan kelulusan akademik rakyat serta gagal menampung kos sara hidup yang kian meningkat, pastinya tawaran kerja sedemikian ditolak.

Kita juga sedar bahawa tindakan kerajaan mencari penyelesaian kekurangan tenaga kerja di sektor industri tertentu di negara ini melalui kemauskan pekerja asing adalah suatu strategi jangka pendek. Namun strategi jangka pendek yang diuar-uarkan sejak tahun 1980-an itu telah berlarutan sehingga ke milenium kedua ini. Nampaknya strategi sedemikian terbukti genjot dan hakikatnya dilihat sebagai ‘strategi yang tidak berstrategi’. ‘Operasi Nyah’ yang dijalankan oleh pihak berkuasa pada 1998 dilihat sebagai suatu tindakan yang amat serius dan wajar; namun pada hari ini kehadiran PATI seperti tidak terkawal. Dengan itu jugalah berbangkitnya isu rasuah di kalangan pegawai pihak berkuasa: baik pihak imigresen, pihak polis, pihak agen pendatang asing, pihak majikan yang memerah tenaga pekerja asing ini, malah meleret kepada ahli politik.

Malangnya pihak berkuasa kita seringkali memberikan alasan yang menolak intergriti serta keefisienan kerja dan tanggungjawab mereka. Pihak imigresen misalnya mengatakan bahawa mereka hanya mempunyai 1500 kakitangan untuk menangani 1.5 juta pekerja asing. Bagaimana dengan pihak polis? Kita kerap kali mendengar bahawa rumah-rumah kongsi pekerja asing di kawasan pembinaan seringkali diserbu oleh pihak berkuasa, namun statistik BBC terus menekankan bahawa PATI masih signifikan di negara tercinta ini.

Bayangkan berbilion ringgit telah mereka rebut daripada hasil pekerjaan mereka di Malaysia (kira-kira 2.7 bilion pada tahun 1996 dan dianggarkan lima bilion pada tahun 2005) dan dengan itu melebarkan defisit imbangan pembayaran negara. Di negara asal, mereka menjadi orang kaya yang terhormat walaupun di Malaysia mereka hanyalah pekerja kilang atau ladang.

Kita tidak mencemburui hasil pendapatan titik peluh mereka sendiri, namun jika kehadiran mereka ke sini adalah secara haram, kehadiran mereka ke sini atas dasar merampas peluang pekerjaan anak watan sendiri, kehadiran mereka sekali-sekala merompak dan memecah rumah, kehadiran mereka kerana rasuah yang mereka hulurkan kepada pihak berkuasa, maka tidak salah jika kita simpulkan bahawa apa yang telah pihak kita lakukan samalah seperti menyusu monyet di hutan, sedangkan anak di pangkuan mati kepalaran.

(Dr Rahmat Ghazali boleh dihubungi melalui rahmat_suaramurba@yahoo.com)
Author: voice
Category: General

Kritikan dan Pak Lah

Posted on 01/10 10:07
Arwah datuk saya, yang merupakan seorang pesara polis British dan pernah bertugas pada ketika Peperangan Dunia Kedua, telah membesarkan saya di Kepala Batas. Keseluruhan zaman awal remaja saya telah saya habiskan di Kepala Batas. Saya pernah bersama rakan-rakan bermain di hadapan Sekolah DMW (Daeratul Maarafil Wataniah), yang difahamkan kepada saya, telah diasaskan oleh Allahyarham Abdullah Fahim dan Ahmad Badawi. Rumah keluarga Pak Lah juga berada di dalam kawasan sekolah (harap saya tidak salah). Ketika itu pondok-pondok untuk pelajar pendidikan agama DMW masih wujud di sekitaran itu bersebelahan dengan Masjid Kepala Batas, dan ketika itu saya teringin sekali menjadi penghuni pondok-pondok itu, menguruskan rumah kecil saya sendiri, bebas daripada datuk saya yang autokratik atau mungkin juga diktator. Saya juga sering mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan Allahyarham Ahmad Badawi di masjid Kepala Batas itu di sebelah jalan sekolah DMW. Allahyarham adalah tokoh terhormat kerana keintelektualan dan jasanya kepada masyarakat. Pada era itulah datuk saya mengajar saya supaya “jangan mengkritik atau membangkang pemimpin kamu,” atau secara implisitnya apa yang mahu beliau katakan ialah ‘jangan mengkritik dirinya dan sebaliknya dengar dan patuh segala arahannya’. Saya tidak menyalahkan datuk saya kerana paradigma yang sedemikian rupa (semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya).

Bayangkan bagaimana sikap beliau yang amat autokratik dan garang dengan sifat fizikalnya yang tinggi dan sasa ditambah dengan orientasi dan disiplin kepolisan British. Tidak ada sesiapa antara ahli keluarga yang berani mengkritiknya secara negatif berkenaan apa sahaja yang dilakukannya, sama ada betul atau salah. Beliau seakan mengajar saya bahawa kritikan adalah hak ketua kerana ketua tahu apa yang betul dan apa yang salah dan ketua juga menentukan apa yang betul, dan apa yang salah. Kritikan baginya bergerak dari atas ke bawah dan bukan sebaliknya. Justeru sesiapa yang berada di bawah dalam sistem hierarki keluarga hendaklah menerima kritikan sebagai tanda patuh dan setia, manakala mengkritik ketua adalah suatu refleksi kepada sikap khianat, biadap dan angkuh. Saya percaya bahawa konsep kritikan sedemikian akan menjadikan orang bawahan sebagai balaci, abdi setia dan Pak turut sekiranya mereka gagal menegur kepincangan ketua mereka.

Anehnya setelah dewasa dan setelah ketiadaan datuk saya, saya menjadi manusia yang suka mengkritik. Mungkin sebahagian daripada rasionalnya ialah kerana segala kritikan yang berbuku dalam fikiran saya sejak zaman kanak-kanak lagi telah terperam dalam jiwa saya dan kemudian perlahan-lahan ia mendidih dan memberontak. Dengan itu saya terasa seperti menjadi manusia yang suka mengkritik; melihat segala fenomena di sekeliling dari sudut yang amat kritikal, yang kadangkala amat merimaskan.

Berkontradik dengan falsafah datuk saya, saya mendapati bahawa pemikiran kritikallah yang telah menjadi asas dan penanda kepada zaman ‘Renaisance Barat’. Namun kritikan juga telah meragut nyawa Galileo Galilei apabila dia membangkang idea golongan gereja yang menyatakan bahawa bumi ini bersifat rata seperti permaidani sedangkan Galileo menegaskan, daripada hasil kajian saintifiknya, bahawa bumi ini berbentuk sfera. Malahan pihak gereja mempercayai bahawa bumi ini menjadi paksi sistem putaran cakerawala tetapi Galileo menentang dan bertegas bahawa suria adalah paksi sistem galaksi tersebut. Pastinya bangkangan dan kritikan Galileo didasari oleh kebenaran yang terbina daripada kajian saintifiknya.

Di sekolah, saya juga telah mempelajari bahawa masyarakat Melayu Lama memang menentang kritikan terhadap pucuk pimpinan. Sultan Mahmud Syah telah memerintahkan pembesar raja supaya membunuh setiap ahli keluarga Bendahara Tun Mutahir dan menantunya Tun Hassan kerana kritikannya dan keengkarannya terhadap raja. Anak gadis tunggal Tun Mutahir bernama Tun Fatimah, tidak dibunuh kerana mahu diperisterikan raja. Sebelumnya Sultan Mansur Syah juga telah memerintahkan Hang Tuah supaya membunuh Hang Jebat kerana kritikan Hang Jebat terhadap Raja. Bagaimana pula dengan krisis politik negara kita pada tahun 1987 dan1998, yang saya lihat falsafahnya bertitik-tolak daripada krisis kritikan juga?

Malangnya apabila saya matang dan mula meneroka erti demokrasi, saya dapati bahawa falsafah genjot datuk saya itulah yang disifatkan oleh ahli-ahli falsafah demokrasi liberal sebagai autoritarian atau mungkin lebih tepat lagi digolongkan sebagai diktator.

Demokrasi membenarkan kritikan. Sebagaimana yang ditulis oleh Dorothy Pickles dan ramai lagi sarjana politik, demokrasi mengangkat kebebasan bersuara dan kebebasan ekspresi; termasuklah kritikan. Asasnya ialah kebebasan, apatah lagi bagi sebuah masyarakat dan bangsa yang merdeka. Demokrasi memberi hak kebebasan kepada rakyat untuk menyatakan pendapat dan pendirian mereka meskipun jika mereka mahu menyatakan pendapat dan pendirian mereka itu di tepi-tepi jalan; kerana falsafah demokrasi itu adalah berasaskan pemerintahan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat yang menolak falsafah feudalisme atau komunisme; yang di kebanyakan negara telahpun menjadi sejarah. Malah bagi masyarakat Athens tempat asalnya demokrasi dicipta, demokrasi adalah milik masyarakat buruh, bukan golongan borjois atau aristokrat.

Bersingkron dengan falsafah demokrasi itu, dalam Artikel 19, Deklarasi Sejagat 1948, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, telah dipersetujui oleh seluruh warga dunia bahawa:
“Everyone has the right to freedom of opinion and expression; this right includes freedom to hold opinions without interference and to seek, receive and impart information and ideas through any media and regardless of frontiers.”

Semasa mengikuti pengajian ijazah Sarjana di Kentucky, AS, saya lihat Presiden Bill Clinton telah dikritik siang dan malam apabila skandal Lewinsky telah saban hari menjadi fokus media. Malah Clinton telah dijadikan bahan lelucon di TV dan dada akhbar. Pada suatu ketika saya tidak dapat menahan rasa lucu apabila kartunis-kartunis di Amerika melukiskan Clinton seperti sang badut dalam ruangan dan wacana mereka. Namun kian lama apabila lelucon itu kian berubah menjadi wadah penghinaan, saya merasakan bahawa kritikan sedemikian sudah melampaui batas.

Malah pada satu daripada hari-hari berkenaan seorang Profesor kewartawanan telah menunjukkan gambar Clinton yang dilukiskan sebagai anjing dengan seuntai rantai terikat di lehernya yang ditarik pula oleh Wanita Pertama Amerika (isteri beliau) ketika itu. Semua rakan-rakan Mat Saleh (saya satu-satunya manusia Melayu dalam kuliah itu) ketawa seperti diserang histeria melihat gambaran sedemikian seakan-akan mereka bangga dapat menghina Presiden negara mereka sendiri. Pastinya mereka melihat bahawa semua kritikan dan hilai-tawa itu berjalan atas landasan demokrasi liberal. Ketika itulah saya bangun dan berkata, “Please stop it. Clinton is not my leader, I have nothing to do with him, but I can’t bear it anymore. Your liberal democracy has turned out to be ‘liberal democrazy’. Malaysians would never do that to any of their leaders to such extent. There is limitation to everything.”

Pak Lah, saya kaitkan gambaran tentang kritikan terhadap pucuk pimpinan negara kerana saya melihat bahawa banyak kritikan yang telah dilemparkan kepada tuan dan pucuk pimpinan kita yang lain sejak akhir-akhir ini. Saya kaitkan dengan tuan kerana rasa empatetik terhadap pucuk pimpinan negara yang diserang bertubi-tubi oleh kritikan melalui ruang siber. Saya faham bahawa media arus perdana tidak akan mengkritik secara negatif dan ekstrim sedemikian. Namun saya tertanya-tanya sama ada tuan membaca ‘akhbar nyamuk’ siber yang sedemikian mahupun akhbar-akhbar luar talian yang berhaluan kiri. Jika tuan membacanya tuan pasti dapat melihatnya. Sebagai rakyat kerdil, saya rasa peduli kerana ‘nasionalisme kerdil’ saya terhadap Kepala Batas yang mengalir dalam darah, fikiran dan jiwa saya.

Zaman tuan diangkat menjadi Perdana Menteri berbeza dengan zaman-zaman sebelumnya Pak Lah, kerana ketika ini Internet sudah matang, tidak seperti zaman Tun Mahathir, Tun Hussein, Tun Razak dan lebih-lebih lagi pada zaman Tunku yang masih lewah dengan falsafah British.

Lebih menghangatkan, kerajaan sendiri telah memberikan jaminan bahawa kandungan Internet tidak akan ditapis dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga Bil Jaminan Koridor Raya Multimedia. Namun inilah tanda aras bagi kemajuan yang diangkat oleh Wawasan 2020. Suara-suara kritikan yang tidak pernah tuan baca dan dengar dalam media arus perdana telah menjadi lantang dalam wacana siber. Apatah lagi tuan kaya dengan watak ‘persahabatan dan kemesraan’ yang datangnya daripada jiwa tuan yang mulia. Malah tuan pernah berkata kepada seorang penulis yang meminta tuan lancarkan bukunya yang padat dengan kritikan terhadap kerajaan pada suatu ketika dahulu bahawa tuan tidak bersetuju dengan kebanyakan apa yang telah dia tulis tetapi kata tuan kepadanya, “Teruslah menulis.” Sesungguhnya hebat dan mulianya tuan.

Namun saya juga percaya bahawa tuan memiliki kekuatan intelektual Abdullah Fahim, keberanian Ahmad Badawi dan saya percaya bahawa kejayaan tuan yang cemerlang dalam pilihanraya 2004 adalah pancaran kepada sifat-sifat mulia yang tuan miliki. Saya percaya tuan akan menghadapi semua kritikan-kritikan siber itu dan yang lainnya, dengan berani dan tidak akan mengaku kalah.

Pastinya sebagai Perdana Menteri tuan amat mengetahui bahawa sebahagian daripada kelantangan kritikan itu adalah kerana ruang kebebasan bersuara yang lebih luas yang telah tuan berikan berbanding dengan pucuk pimpinan yang lalu.

Namun Pak Lah, janganlah melihat kritikan-kritikan itu semua sebagai suara-suara rakyat yang cuba mengkhianati negara. Daripada apa yang saya pelajari, kritikan sebagaimana yang diangkat oleh teori Horkhemier atau Habermas, datang daripada fikiran dan jiwa yang tertekan. Daripada teori kritikan Habermas, kritikan dilemparkan kerana rakyat mahukan perubahan. Bantulah mereka Pak Lah dengan segala kebijaksanaan dan kuasa yang tuan miliki. Sebagaimana kata pakar-pakar demokrasi Internet seperti Pavlic, Stoval, Dueze dan lain-lain lagi; kritikan hendaklah dijawab dan ditentang dengan kritikan juga jika itulah yang dilihat sebagai jalan terbaik untuk menegakkan kebenaran. Jelaskan kepada mereka mengapa akhir-akhir ini banyak isu rasuah, isu pemerkosaan, isu ragut, rompakan, pembunuhan dan kegenjotan dalam sistem kepolisan dan sistem kehakiman kita. Jelaskan kepada rakyat mengapa tuan mahu pihak sekolah pula memikul tanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak kita. Tuan juga pasti tahu bahawa isu samseng di sekolah belum lagi selesai.

Berdirilah atas pentas kebenaran Pak Lah kerana hari ini ramai yang berdiri di sisi tuan kerana kuasa yang ada pada tuan. Jika tuan tidak berdiri atas kebenaran, esok mereka sendiri akan menikam tuan dari belakang. Hari ini kita lihat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri telah dipinggirkan oleh orang-orang yang dahulunya berdiri teguh di sisinya. Tanpa prejudis dan tanpa mahu mengajar itik berenang marilah kita kembali kepada Surah Al-Isra’ ayat 81:
“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran dan hilang lenyaplah perkara yang salah; sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap (dan akan lenyap).”

(Artikel ini adalah adaptasi dan disucikan daripada artikel Dr Rahmat yang pernah tersiar melalui Internet di bawah tajuk “Criticism and Pak Lah”).
Author: voice
Category: General