Sepuloh tahun dahulu, Anwar enggan membuat Mubahalah kerana menganggap dirinya teraniaya. Katanya, doa orang teraniaya dikabulkan tuhan. Malam tadi Anwar berdalih lagi tidak mahu Mubahalah.
Beliau menyatakan keengganannya semasa berucap pada perhimpunan 'Protes Sampai Turun Harga Minyak 2008' di Stadium MBPJ di Kelana Jaya Ahad malam. Dengan stail biasa "menjual nama", Anwar berkata dia dinasihat oleh ulama-ulama di dalam dan luar negara.
Jika dahulu, jawapan beliau masih menunjukkan kepercayaan kepada amalan Mubahalah, adakah kali ini dia sudah tidak percaya? Adakah kerana kali ini dia sedang memainkan pelbagai sandiwara konspirasi, maka skrip konspirasi teraniaya tidak boleh digunakan lagi?
Alasan yang diguna Anwar hanya mengambil peluang dari perbezaan pendapat ulama. Namun, adakah benar Mufti Perak, Dato Harussani Zakaria dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya berkata demikian?
Mengikut laporan, Dato Harussani hanya katakan lakukan Mubahalah jika tidak ada bukti zahir.
Dengan memutarbelitkan kenyataan Dato Harussani berkenaan bukti zahir, Anwar mula menggunakan alasan keperluan empat saksi dalam mahkamah syariah.
Padahal mahkamah syariah tidak ada peruntukkan dalam kes-kes jenayah dan penggunaan bukti DNA masih belum jelas dalam perundangan Islam.
Perbezaan ulama membawa rahmat kerana ia memberi pilihan untuk mencari satu penyelesaian yang sesuai kepada suasana dan situasi. Dalam konteks ini, kepentingan masyarakat harus mendahului keegoaan peribadi.
Apa salah Anwar dan Saiful lakukan Mubahalah sebagai jalan untuk membawa keamanan dan ketenteraman masyarakat? Apa salah usahakan sesuatu yang meredakan kegelisahan, kekeliruaan dan perselisihan pendapat orang ramai?
Berani kerana benar, takut kerana salah.
Anwar Enggan
Laporan Bernama berkenaan keengganan Anwar berikut:
Sumpah: Anwar sudah rujuk Ulama dalam, luar negara
Pendapat Ulama
Isnin, 07 Julai 2008
Petaling Jaya: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mahu mengangkat sumpah atas nama Allah dalam kes tuduhan liwat ke atasnya oleh bekas pembantunya 28 Jun lepas kerana dinasihatkan oleh ulama dalam dan luar negara supaya tidak berbuat demikian.
Beliau mendakwa 10 tahun lepas, beliau pernah bersumpah atas tuduhan liwat tetapi tetap dituduh, diterajang, dipukul dan dipenjarakan yang kesemuanya tidak mengikut Islam dan al-Quran.
"Saya nak jawab perkara ini setelah merujuk dengan ulama dalam dan luar negara. Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria juga mengulas perkara ini dan begitu juga bekas Mufti Wilayah Datuk Hashim Yahaya," katanya semasa berucap pada perhimpunan 'Protes Sampai Turun Harga Minyak 2008' di Stadium MBPJ di Kelana Jaya Ahad malam.
Beliau berkata sekiranya perkara itu hendak dibawa pertuduhannya di bawah Mahkamah Syariah, Anwar berkata beliau sudah mencadangkannya pada 1998 apabila pertuduhan liwat dikenakan ke atasnya.
"Saya meminta empat orang bukti dan saya sedia didakwa. (Sekiranya tidak) saya anggap kes ini tidak ada asas sama sekali," katanya.
Katanya beliau tidak mahu ada pemimpin Umno yang mahu mendabik dada meminta beliau berbuat demikian kerana bersumpah atas nama Allah bukan perkara politik tetapi mengikut kaedah syarak dan memerlukan nasihat oleh ulama yang berwibawa. - Bernama
Laporan dari KLPos.com seperti berikut:
"Sumpah dengan junjung Al Quran untuk tentu kebenaran": Nik Aziz
Jumaat, 04 Julai 2008
"Sesuatu yang dituntut dalam Islam"
Kota Baru: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata "mubahalah" atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.
Sambil menyokong cadangan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung perkara itu, beliau berkata melalui cara demikian, Allah SWT boleh melaknatkan mana-mana pihak yang bersalah.
"Dalam Quran sudah menyebut, setelah sudah tiada ikhtiar lagi dalam menyelesaikan kemelut yang memalukan itu, siapa yang tidak bersalah Tuhan tolong," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Cadangan Mufti Perlis
Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata demikian sebagai mengulas cadangan Mohd Asri supaya kedua-dua individu yang dikaitkan dengan kes liwat iaitu Penasihat Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan "bermubahalah" atau bersumpah.
Dalam kenyataannya semalam, Mohd Asri berkata isu liwat yang membabitkan Anwar sudah semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.
Komen Mufti Perak
Manakala Mstar Online melaporkan Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengemukakan bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak bersalah seperti yang didakwa oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dr Harussani berkata demikian ketika diminta pendapat beliau tentang cadangan mubahalah (bersumpah) yang dicadangkan oleh Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abdin semalam.
Katanya lagi, "Setiap keterangan yang diberikan perlu dibuktikan. Jika tiada keterangan untuk dijawab, barulah beliau (Anwar) perlu bersumpah.”
Sebelum ini, Dr. Asri telah menggesa Anwar yang dituduh meliwat kali kedua dan pembantu khasnya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya bermubahalah’ atau bersumpah.
Katanya lagi,"Kedua-dua pihak (Anwar dan Saiful) hendaklah bersumpah. Kalau tidak puas hati lagi, bermubahalah seperti ini ... 'ika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya laknat Allah kepada saya' dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi... saya tidak melakukannya."
Ketika ditanya samada beliau bersetuju atau tidak untuk meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah berhubung dakwaan liwatnya, dia berkata,"Keterangan mesti diberikan oleh orang yang didakwa (Anwar). Apabila sesuatu perkara itu dizahirkan, ia mesti ada bukti.
"Sekiranya tidak ada bukti, barulah diambil pendekatan bersumpah ini,” tambah Dr. Harussani ketika dihubungi mStar Online hari ini.
Kata Dr. Harussani lagi, Anwar perlu memberi bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak terlibat dengan dakwaan tersebut.
Namun apabila diminta pandangan lanjut, Dr. Harussani berkata, “Saya tak nak komen lagi sebab tak nak terlibat tentang hal ini.”
Pertelingkahan parti politik
Beliau menganggap isu liwat ini timbul disebabkan pertelingkahan antara dua parti politik yang berlaku sekarang.
Difahamkan terdapat perbezaan pendapat tentang hukum liwat di negara ini. Ada ulama yang mengatakan sebatan 100 kali rotan dan ada yang berkata tidak pasti. Ini adalah kerana undang-undang Islam di Malaysia hanya merangkumi kes zina sahaja dan bukan kes liwat. - Bernama, Mstar















